Lelaki direman disyaki dera anak tiri

Lelaki direman disyaki dera anak tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki berusia 24 tahun direman selama tujuh hari selepas disyaki mendera anak tirinya yang berusia dua tahun 11 bulan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada ibu mangsa pada pukul 8.30 malam semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian penderaan dipercayai telah berlaku beberapa hari lalu sebelum laporan polis dibuat.

“Kesan kecederaan pada mangsa disedari ketika kanak-kanak lelaki itu berada di dalam kereta bersama ibu dan bapa tirinya di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban menghala ke Jelebu.

“Siasatan lanjut turut mendapati mangsa dipercayai sering dipukul oleh suspek sehingga cedera ketika berada di rumah keluarga terbabit di Jalan Rasah di sini. Difahamkan suspek dan ibu mangsa baru mendirikan rumah tangga pada April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Yatim berkata, pemeriksaan fizikal terhadap mangsa mendapati terdapat kesan lebam kemerahan pada bahagian hadapan dan belakang badan yang dipercayai akibat dicubit.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban dan kini menerima rawatan lanjut di wad hospital berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek telah ditahan pada pukul 10.55 malam semalam di hadapan hospital berkenaan.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif. Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan Mahkamah Majistret Seremban selama tujuh hari bermula hari ini hingga 20 Jun bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN