Larian solo 290km desak isu DAK dibahas di Parlimen - Utusan Malaysia

Larian solo 290km desak isu DAK dibahas di Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang aktivis, Neow Choo Seong akan melakukan larian solo sejauh 290 kilometer dari Taiping ke bangunan Parlimen selama enam hari merentasi tiga negeri sebagai simbol solidariti bagi memperjuangkan nasib tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.

‘Larian Solidariti Bersama DAK’ itu akan bermula dari Taiping pada 17 Jun ini sebelum berakhir di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur pada 22 Jun.

Menurut Sekretariat Solidariti Bersama DAK, larian tersebut bertujuan menarik perhatian kerajaan serta pihak berkepentingan terhadap kebajikan ketiga-tiga haiwan berkenaan yang didakwa semakin merosot sejak dipindahkan ke Jepun pada 11 Mac lalu.

“Larian ini bukan sekadar cabaran fizikal, sebaliknya satu bentuk gesaan agar isu melibatkan Dara, Amoi dan Kelat diberi perhatian serius serta dibincangkan di Dewan Rakyat.

“Masa semakin suntuk. Keadaan kesihatan Dara, Amoi dan Kelat dilihat semakin merosot dan isu ini perlu dibahaskan segera dalam Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang perjalanan, Choo Seong yang juga Ketua Penerangan Pemuda MCA turut dijadual mengadakan sesi pertemuan bersama masyarakat setempat di setiap hentian bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memelihara kebajikan haiwan serta khazanah negara.

Laluan larian tersebut melibatkan Taiping ke Ipoh, Ipoh ke Kampar, Kampar ke Tapah, Bidor ke Tanjung Malim, Tanjung Malim ke Selayang sebelum menamatkan perjalanan di Parlimen Kuala Lumpur dengan jumlah keseluruhan jarak sejauh 290 kilometer.

Katanya, satu petisyen akan diserahkan di pintu masuk utama bangunan Parlimen pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat, 22 Jun ini kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong untuk dibawa dan disuarakan dalam sidang Parlimen.

“Saya berharap usaha ini dapat membuka ruang perbincangan yang lebih konstruktif antara kerajaan Malaysia dan pihak Zoo Tennoji demi masa depan serta kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan.

“Perjuangan ini memerlukan sokongan rakyat Malaysia agar kebajikan haiwan ikonik negara sentiasa terpelihara dan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN