IPOH: Suasana kampung sekitar Manjoi di sini meriah apabila 831 pelajar Askar Wataniah daripada 19 politeknik seluruh negara turun padang menjayakan Program Jiwa Murni sempena Malaysian Polytechnics Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) 2026 semalam.
Program yang berlangsung di 11 lokasi sekitar bandar raya Ipoh itu menyaksikan pelajar bersama penduduk kampung berganding bahu melakukan aktiviti gotong-royong, pembersihan kawasan, mengecat serta menceriakan kemudahan awam.
Antara lokasi yang terlibat termasuk masjid, surau dan Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) di sekitar Manjoi yang menjadi tumpuan utama program berkenaan.
Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Ungku Omar (PUO), Norman Zamri berkata, program itu bukan sekadar aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) malah menjadi ruang pelajar mendekati masyarakat secara lebih dekat.
Menurut beliau, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan sebelum digerakkan ke lokasi terpilih bagi melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan bersama penduduk setempat.
“Selain membersihkan kawasan, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dengan masyarakat dan memahami kehidupan kampung dengan lebih dekat,” katanya.
Beliau berkata, seramai 831 pelajar terlibat dalam program tersebut manakala jumlah keseluruhan termasuk jurulatih dan pegawai pengiring mencecah hampir 1,000 orang.
Sementara itu, Penghulu Besar Negeri Perak, Dr Mohd Sani Kamaruddin berkata, kehadiran pelajar politeknik ke kampung tradisional itu memberi impak besar dalam membentuk jati diri dan semangat kemasyarakatan.
Katanya, program seperti itu bukan sahaja menceriakan kawasan kampung, malah mengeratkan hubungan antara generasi muda dan penduduk setempat melalui aktiviti bersama.
“Apabila pelajar turun ke lapangan, mereka bukan sahaja belajar kemahiran, tetapi juga nilai kehidupan bermasyarakat yang tidak diperoleh di bilik kuliah.
“Program ini dilihat dapat menjadi platform penting dalam menghubungkan institusi pendidikan dengan komuniti, selain menyemai semangat sukarelawan dalam kalangan pelajar,” katanya. – UTUSAN










