PETALING JAYA: Pelakon Eyka Farhana memilih untuk mengambil gambar dan video anaknya sebanyak mungkin kerana sedar waktu pembesaran bayi berlalu dengan sangat cepat.
Eyka atau Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 31, berkata, dia mahu menyimpan setiap detik bersama anak sulungnya itu agar tidak terlepas fasa-fasa berharga yang hanya berlaku sekali seumur hidup.
“Sekarang ini, galeri foto saya penuh dengan gambar bayi sahaja. Kalau boleh semua perkara saya mahu rakam. Ibu saya berkata, ambillah seberapa banyak foto dan video yang boleh kerana masa sangat cepat berlalu.
“Suatu hari nanti kita akan tengok balik semua ini dan tertanya-tanya ke mana perginya waktu yang telah berlalu. Jadi, betul, saya rakam setiap momen kecil awak, Luay, kerana saya tidak mahu lupakan hari-hari yang sangat berharga ini,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Eyka berkongsi perkara berkenaan di akaun media sosial miliknya selepas dia sendiri menyedari ruang simpanan telefonnya sudah semakin penuh dengan gambar anaknya.
Terdahulu, Eyka mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak terkenal, Akhyar Rashid pada Mei tahun lalu dan pasangan ini dikurniakan cahaya mata sulung, Muhammad Luay Khayr tidak lama selepas itu.
Untuk rekod, Eyka mula menjadi bualan peminat industri seni tempatan selepas dia mempamerkan bakat lakonan yang hebat menerusi drama popular seperti Budak Tebing, Melur Untuk Firdaus 2, dan Bukan Gadis Biasa.










