Graduan farmasi didakwa tipu pembelian PS5

Graduan farmasi didakwa tipu pembelian PS5

BRYAN Tan Pei Er dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan berhubung kes penipuan melibatkan pembelian PlayStation 5. - FOTO/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang graduan jurusan farmasi yang dikaitkan dalam kes penipuan pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan peminat tegar alat permainan konsol popular itu, didakwa di Mahkamah Majistret di sini.

Bagaimanapun tertuduh, Bryan Tan Pei Er, 24, mengaku tidak bersalah selepas tujuh pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam dua prosiding berasingan.

Di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali, tertuduh didakwa atas empat pertuduhan iaitu menipu empat individu bahawa tertuduh akan memberikan PS5 Disc Version kepada mereka.

Perbuatan itu telah mendorong keempat-empat mangsa menyerahkan RM10,230 kepada tertuduh.

Selain menipu berhubung pembelian PS5, tertuduh juga didakwa atas satu pertuduhan menjual patung Bearbrick sehingga mangsa menyerahkan RM68,800.

Sementara itu, di hadapan Majistret Wong Chai Sia, tertuduh didakwa atas dua lagi pertuduhan berhubung penjualan PS5 melibatkan dua individu membabitkan jumlah RM22,958.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di beberapa lokasi berbeza antaranya di Brickfields, Setapak, Sentul, Dang Wangi dan Cheras di sini antara 28 Ogos dan 7 November 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 420 yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lyn dan G. Phulrani Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,500 bagi ketujuh-tujuh pertuduhan dan menetapkan 3 dan 4 Mac ini untuk sebutan kes.

Pada 15 Februari 2021, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan lebih 200 peminat tegar alat permainan konsol popular itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din mengesahkan penahanan suspek berusia 23 tahun di Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ekoran penahanan itu, pihak polis merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad bank suspek bagi siasatan lanjut.

Kosmo! pernah mendedahkan lebih 200 peminat tegar PS5 berang apabila tempahan alat permainan konsol itu dengan nilai keseluruhan hampir jutaan ringgit daripada seorang lelaki sejak beberapa bulan lalu masih gagal dipenuhi.

Malah, cubaan ‘kaki game’ terlibat untuk mendapatkan semula wang daripada si ‘wakil penjual’ juga gagal apabila lelaki itu tidak berbuat demikian, sebaliknya terus berjanji untuk segera menyelesaikan masalah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya