Kadar sewa bulanan dikurang 30 peratus

Kadar sewa bulanan dikurang 30 peratus

HANNAH Yeoh menunjukkan notis penawaran diskaun makanan dan minuman sehingga 15 peratus melibatkan golongan warga emas di Medan Selera Presint 9 Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 244 pe­nia­ga kecil di Putrajaya bakal me­nikmati manfaat pengura­ngan kadar sewa bulanan sebanyak 30 peratus bermula 1 Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif itu melibatkan peniaga medan selera, kios penjaja dan pasar di bawah seliaan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang akan dilaksa­nakan selama 12 bulan sehingga 30 Mei 2027.

“Bagi melayakkan mereka me­nikmati pengurangan kadar sewa ini, peniaga yang terlibat perlu menyelesaikan tunggakan sewa sehingga bulan ini.

“Langkah ini juga memberi peluang kepada mereka untuk menyusun semula komitmen sewaan secara lebih stabil dan mampan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Medan Selera Presint 9, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Hannah ber­kata, langkah itu juga bertujuan mengurangkan tekanan operasi dan membantu peniaga kecil terus bertahan dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

Katanya, peniaga kecil tidak sepatutnya dibiarkan berjuang sendirian ketika cabaran kos sara hidup terus dirasai rakyat.

“Saya memahami ramai pe­nia­ga kecil memulakan hari seawal pagi demi memastikan perniagaan mereka terus berjalan dan keluarga mereka terus terbela. Saya berharap langkah ini dapat memberi sedikit ruang bernafas kepada peniaga kecil yang setiap hari berusaha untuk mencari rezeki,” ujarnya.

Pada masa sama, Hannah turut mengumumkan pemberian diskaun makanan dan minuman sebanyak 10 hingga 15 peratus kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang ditawarkan oleh peniaga.

“Bermula di medan selera di sini semua peniaga telah ber­­setuju untuk memberi­kan diskaun makanan dan minuman sehingga maksimum 15 peratus kepada warga e­mas berusia 60 tahun ke atas
dan dis­kaun ini tidak boleh terpakai un­tuk satu keluarga, ia hanya khas untuk warga emas untuk ma­kan dan minum.

“Saya ucapkan terima kasih kepada persatuan penjaja kerana mereka menyahut inisiatif PPj ini dan PPj merupakan PBT (pihak berkuasa tempatan) yang pertama di Jabatan Wilayah Per­sekutuan yang melaksanakan inisiatif ini.

“Kita juga hendak pastikan golongan terkesan seperti warga emas ini yang tiada hasil pendapatan boleh menikmati diskaun yang ditawarkan. Apabila PPj tawarkan pengurangan sewa 30 peratus, jadi pengurangan sewa itu mereka boleh ‘pump’ semula kepada golongan warga emas, kira ‘situasi menang-menang’ untuk semua pihak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN