PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan beliau telah menyatakan pandangan secara jujur dan berterus terang berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 11 September lalu.
Beliau berkata, pandangan itu diberikan selepas meneliti pendapat bertulis Peguam Negara dan dalam kapasiti beliau sebagai salah seorang anggota Lembaga Pengampunan serta menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
“Saya telah menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang berlandaskan hati nurani saya demi kepentingan negara.
“Tentunya, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Negara, kuasa dan keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong termasuk untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai pengampunan Najib Razak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya pada Jumaat lalu. – UTUSAN










