Kerajaan jamin bekalan ubat cukup - Utusan Malaysia

Kerajaan jamin bekalan ubat cukup

ANWAR Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya, semalam yang mendengar pembentangan utama daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan ubat-ubatan dalam negara mencukupi, selain memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga sehingga membebankan pesakit dan warga emas.

Setakat 8 Mei lalu, majoriti bekalan ubat-ubatan direkodkan pada tahap stabil dengan 72 peratus pada tahap risiko rendah.

Daripada keseluruhan item ubat yang direkodkan, hanya 16.8 peratus dalam risiko tinggi yang memerlukan pemantauan serta tindakan mitigasi berterusan, manakala baki 11.3 peratus lagi dikategorikan dalam risiko sederhana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, me­syua­rat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) semalam, mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) terus memantau sebarang kemungkinan melibatkan rantaian stok serta harga ubat.

Beliau berkata, kerajaan akan memperkukuh langkah men­depani krisis rantaian bekalan global bagi memastikan kese­jahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi kekal terpelihara.

Katanya, kerajaan memahami tekanan yang sedang dihadapi rakyat, susulan kenaikan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Atas pertimbangan tersebut, kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif Budi Madani: Budi Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golo­ngan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Bekalan ubat-ubatan negara juga masih berada pada tahap stabil dan KKM akan terus memantau sebarang cabaran melibatkan rantaian stok serta harga bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

“Apa juga cabaran yang mendatang, kerajaan akan terus bekerja keras, bertindak de­ngan ihsan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi ke­utamaan negara,” katanya.

Sementara itu, dalam Taklimat Krisis Bekalan Global, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan mengambil langkah mitigasi secara berfasa dan tersusun sejak awal krisis berlaku.

Katanya, antara langkah diambil termasuk pemantauan bekalan secara berkala melalui pasukan petugas khas serta pengukuhan stok penimbal nasional bagi item ubat berisiko tinggi secara segera.

“Selain itu diversifikasi sumber bekalan melalui kerjasama strategik dengan negara seper­ti China, Jepun dan Uzbekistan serta mengaktifkan laluan akses khas (special access pathway) bagi mempercepatkan kelulusan import ubat kritikal.

“Langkah lain pula adalah pembangunan industri tempatan bagi memperkasa pembuat peranti perubatan nasional ke arah pengurangan kebergantungan terhadap produk import,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata, MTEN juga bersetuju supaya KKM meneruskan langkah mitigasi secara berterusan bagi memastikan stok ubat-ubatan dan peranti perubatan terus mencukupi, khususnya melibatkan item kategori kritikal dan berisiko tinggi.

“Sebarang pelarasan kos akan dibuat secara bersasar, berdasarkan tahap risiko dan keperluan sebenar.

“KKM turut disaran untuk meningkatkan usaha bagi memastikan ketelusan harga ubat-ubatan yang dijual di farmasi supaya rakyat tidak dibebani tekanan harga yang tidak wajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN