Kad fleet diesel untuk penyedia khidmat pertanian - Utusan Malaysia

Kad fleet diesel untuk penyedia khidmat pertanian

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan meneliti pelaksanaan subsidi die­sel menerusi kad fleet kepada kira-kira 7,000 penyedia perkhid­matan pertanian di seluruh negara membabitkan peruntukan sekitar RM200 juta.

Menteri Pertanian dan Ke­ter­jaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada operator me­sin membajak, jentera menuai dan lori pengangkut yang di­sewa pesawah.

Katanya, ia penting bagi memastikan kelancaran aktiviti per­tanian memandangkan sebahagian besar pesawah bergantung kepada perkhidmatan pihak ketiga untuk menjalankan kerja-kerja sawah.

“Kebanyakan pesawah tidak memiliki mesin besar sendiri dan mereka bergantung kepada penyedia perkhidmatan pertanian.

“Kerajaan setiap masa me­ngambil maklumat berkaitan keadaan pesawah. Baru-baru ini semasa pembajakan dan sebagainya, kita telah menghulurkan bantuan dan melihat perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Maklumat Pertanian Kebuniti (Gardentopia) di Putrajaya, semalam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pembayaran insentif pembajakan kepada pe­­­sawah pada kadar RM300 sehek­tar yang dibayar dalam dua peringkat.

Selain bayaran pendahuluan RM200 sehektar secara sekali bayar (one-off) sebelum atau semasa kerja pembajakan dimulakan, baki RM100 sehektar pula akan dibayar selepas kerja pembajakan selesai dan disahkan oleh agensi berkaitan mengikut prosedur ditetapkan.

Mohamad berkata, pertubuhan antarabangsa termasuk Food and Agriculture Organization (FAO) menjangkakan kenaikan harga baja, susulan konflik geopolitik dunia yang menjejaskan pengeluaran bahan mentah seperti fosfat.

Beliau berkata, meskipun bekalan baja di Malaysia ketika ini masih mencukupi, kerajaan akan terus melaksanakan intervensi sewajarnya bagi mengurangkan kesan kenaikan harga terhadap sektor pertanian.

Mohamad turut mengakui, berlaku kenaikan harga beberapa jenis sayur di Kelantan, namun keadaan itu masih terkawal dan belum menunjukkan peningkatan mendadak secara menyeluruh.

“Kementerian melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Per­sekutuan (FAMA) sedang memantau keadaan itu dan laporan lanjut dijangka diperoleh dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN