KAJANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta ketua setiausaha (KSU) kementerian itu berhubung siasatan membabitkan isu kelewatan bekalan baja di Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keterangan Mohamad dirakam pada 16 September lalu, manakala KSU kementerian berkenaan dirakam pada 15 September lalu.
Beliau berkata, setakat ini seramai 37 saksi telah dipanggil dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan yang dimulakan pada 26 Ogos lalu berhubung pelantikan sebuah syarikat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Siasatan masih lagi berlangsung, namun ia sudah sampai ke penghujung dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh seminggu atau dua lagi.
“Selain itu, seramai 37 saksi yang telah kami rakam.
“Kami (SPRM) juga bakal merakamkan lagi beberapa orang saksi bagi melengkapkan keseluruhan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Menembak SPRM Bersama Media di Maktab Penjara Kajang hari ini.
Menurutnya, siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menggunakan dokumen yang diketahui atau dipercayai palsu.
Beliau berkata, SPRM setakat ini menumpukan kepada aspek jenayah serta isu berkaitan tadbir urus.
“Memang ada elemen kriminaliti (jenayah) yang terlibat dan tentu saja isu tadbir urus. Tetapi kita ketepikan dahulu isu tadbir urus kerana kita fokus kepada aspek kriminaliti (jenayah).
“Bagaimanapun, saya tidak boleh komen lebih daripada itu kerana penyiasatan masih lagi berlangsung,” katanya.
Sebelum ini, siasatan awal SPRM mendapati sepanjang musim terbabit, sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, namun sehingga September ini hanya 333,655 beg baja dibekalkan, kurang 282,360 beg.
Kes aduan berkenaan dibuka 26 Ogos lalu berkait dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja yang dilantik KPKM untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). – UTUSAN











