Dilema Trump, serang Iran atau tamat perang - Utusan Malaysia

Dilema Trump, serang Iran atau tamat perang

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berdepan dilema sama ada meneruskan serangan terhadap Iran bagi melenyapkan rejim itu atau menghentikan tindakan ketenteraan untuk menamatkan perang.

Trump berkata, langkah seterusnya mungkin dipengaruhi oleh pertemuan beliau dengan sekutu dari rantau Teluk semasa mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan.

“Saya akan membuat keputusan besar. Adakah saya mahu menyerang dan memusnahkan mereka atau tidak? Ini keputusan besar. Apa sahaja boleh berlaku dengan saya,” katanya kepada Axios kelmarin.

Kenyataan itu menghidupkan semula ancaman Trump untuk mengambil tindakan lebih keras terhadap Teheran ketika perang memasuki fasa yang bermula pada 28 Februari lalu semakin tegang.

Trump berkata, pertemuannya dengan pemimpin negara Teluk akan menjadi antara pertimbangan penting sebelum beliau membuat keputusan.

“Saya mahu mengetahui pendirian mereka dan keada­an mereka. Kami selama ini sangat melindungi mereka,” katanya.

Ketegangan dijangka me­mun­cak pada perhimpunan PBB susulan serangan sengit kumpulan Houthi yang disokong Iran terhadap Arab Saudi minggu ini, mengancam bekalan minyak dan gas dunia.

Majlis Keselamatan PBB me­nyaksikan pertembungan di­plomatik pada Khamis selepas Russia dan China menggunakan kuasa veto bagi menghalang usa­ha melanjutkan mandat pa­nel pakar yang memantau sekatan terhadap Iran serta program nuklear negara itu.

Beijing dan Moscow sebelum ini berulang kali dituduh melindungi Iran, malah membantu operasi ketenteraannya sepanjang perang berkenaan.

Duta AS ke PBB, Jennifer Lo­cetta, mengecam penggunaan kuasa veto itu sebagai ‘tindakan menghalang’, selain mencerminkan sokongan Russia dan China terhadap Iran yang disifatkan sebagai ‘rejim penyangak’.

Sementara itu, Iran sekali lagi mendakwa berjaya menembak jatuh aset udara AS minggu ini, dengan dua dron tanpa pemandu MQ-1 Predator ditembak jatuh sejak kebelakangan ini, lapor CBS News.

Dron model lama itu, dianggarkan bernilai kira-kira AS$4 juta (RM16 juta) setiap satu, digunakan untuk melindungi Selat Hormuz ketika sekatan laut yang dilaksanakan Tentera Laut AS, menurut laporan itu.

Berdasarkan laporan Pejabat Belanjawan Kongres yang dikeluarkan minggu ini, AS dilaporkan kehilangan sekurang-kurangnya 24 dron MQ-9 Reaper sejak perang bermula, membabitkan kerugian kira-kira AS$720 juta (RM2.9 bilion). – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×