Mangsa tali bot putus pesan adik urus rumah baharu jadi inap desa

Mangsa tali bot putus pesan adik urus rumah baharu jadi inap desa

AHLI keluarga dan kenalan mengusung jenazah Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: “Arwah abang baru beli rumah, dia pesan supaya kami uruskannya jadi inap desa.”

Demikian pesanan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab. Majid, 38, kepada adik bongsunya, Nurul Ain Shazwani, 30. Dia seorang daripada tiga mangsa maut dalam insiden tali bot putus di fasiliti penyimpanan dan pemunggahan terapung (FSO) Sepat di luar pesisir pantai Terengganu.

Nurul Ain Shazwani berkata, Allahyarham abangnya itu mempunyai pengalaman lebih 10 tahun bekerja di sektor luar pesisir, baru sahaja membeli rumah di Kota SAS, Kuantan, Pahang dan menerima kunci tahun lepas.

Katanya, Allahyarham seorang abang yang baik, penyayang dan sentiasa membantu keluarga dengan duit sewaan inap desa tersebut digunakan untuk perbelanjaan keluarga.

“Kali terakhir kami berjumpa Ahad lalu sebelum Allahyarham pergi kerja.

“Pada 18 Mei lepas, abang sempat mengucapkan selamat hari lahir kepada kakak, Nur Ain Shafiqa, 31, melalui aplikasi WhatsApp sekitar pukul 10.31 pagi,” katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Allahyarham yang masih bujang menetap di Indera Mahkota 2, Kuantan merupakan anak keempat daripada tujuh beradik.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah hari kelmarin, dua lagi mangsa yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dan Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28.

Seorang lagi pekerja cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan ketika kerja penyelenggaraan dijalankan di fasiliti FSO Sepat terletak 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu.

Semua mangsa menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform berkenaan.

Bagaimanapun, tali atau hook yang dipasang pada bot itu dikatakan putus menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke laut bersama bot tersebut.

Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dalam satu kenyataan mengesahkan insiden itu melibatkan tiga pekerja kontraktor­nya dan sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

Sementara itu, abang kepada Allahyarham Ahmad Fiqri, iaitu Ahmad Syafiq, 40, berkata, dia bergegas dari Johor ke Terengganu sebaik sahaja dimaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 6 petang kelmarin.

Menurutnya, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu Allahyarham adalah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu sebelum adiknya kembali bertugas di pelantar minyak, Ahad lepas.

“Allahyarham baru kira-kira setahun bekerja dalam bidang luar pesisir. Sebelum ini dia bekerja sebagai juruteknik di Honda. Dia seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga dan meninggalkan seorang anak lelaki berusia 10 tahun,” katanya.

Allahyarham merupakan anak ketiga daripada empat beradik tinggal bersama ibu mentuanya di Alor Gajah, Melaka bersama isterinya, Siti Aisyah Ahmad, 38. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN