KLUANG: Kira-kira 60 ekor gajah liar didakwa muncul dan merosakkan tanaman milik seorang penduduk yang turut mengusahakan ternakan dalam kejadian di Batu 14 Jalan Mersing, di sini kelmarin.
Aqim Marzuki , 33, berkata, kehadiran gajah berkenaan amat membimbangkan dan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian yang berterusan sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, dia yang menternak lembu dan kambing menganggarkan kerugian kira-kira RM200,000 akibat pencerobohan gajah liar berkenaan sejak 2017 sehingga kini.
“Masalah ini mula muncul selepas kawasan sekitar dilapangkan bagi penanaman semula kelapa sawit dan disebabkan itu kawanan gajah ini mungkin terputus bekalan makanan iaitu pelepah sawit,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, masalah pencerobohan gajah liar ke ladangnya telah diadukan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebelum ini.
“Apa tindakan dan bantuan yang boleh diberikan kepada pengusaha seperti kami ini yang berdepan masalah pencerobohan haiwan liar.
“Kerajaan selalu meminta penternak meningkatkan hasil pengeluaran tetapi apakah jenis bantuan yang diberi kepada penternak yang menghadapi masalah haiwan liar ini. Saya minta pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya sebelum kawanan gajah ini beranak pinak,” katanya.
Jelas Aqim, masalah itu memang pernah berlaku sebelum ini tetapi pencerobohan gajah terbabit dahulu berlaku kira-kira empat kali setahun namun sejak awal tahun lalu, setiap bulan haiwan itu muncul dan merosakkan ladangnya.
“Kejadian terbaru yang terbaru berlaku adalah kelmarin, apabila kira-kira 60 ekor gajah memusnahkan rumput yang ditanam untuk makanan lembu dan kambing ternakan saya selain memecahkan pintu pejabat,” katanya.
Aqim berkata, ladang pajakannya yang berkeluasan kira-kira 1,000 ekar itu untuk bekalan pasaran domestik. -UTUSAN ONLINE










