PETALING JAYA: Pelakon, Erynne Erynna tampil menegur sikap segelintir lelaki berstatus suami dan sudah mempunyai pasangan yang masih bertindak menghantar mesej peribadi kepadanya dan wanita lain.
Erynne atau Syazlynne Erynna Abdullah, 29, berkata, setiap lelaki sepatutnya menjaga batas dan menghormati pasangan masing-masing sama ada secara terbuka mahupun dalam kehidupan peribadi.
“Kepada suami orang atau yang sudah berpunya, tolong jangan hantar mesej peribadi kepada saya mahupun wanita lain. Sila hormati pasangan kalian dan diri sendiri.
“Sebagai lelaki juga harus jaga maruah dan harga diri secara peribadi mahupun terbuka. Bukan perempuan sahaja yang perlu menjaga batas,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Tambah pelakon filem seram Congkak itu, tindakan mengikut nafsu hanya akan memalukan diri sendiri dan memberi kesan kepada orang sekeliling.
“Jangan buat perkara yang boleh memalukan diri sendiri kerana nafsu dan kurang rasa hormat terhadap diri sendiri. Sebagai manusia, integriti dan kawalan diri perlu ada.
“Saya juga ada kelemahan dan keburukan sendiri. Ini juga nasihat untuk saya untuk sentiasa menjaga diri,” ujarnya.
Perkongsian tersebut dibuat selepas pelakon berkenaan mendakwa menerima mesej peribadi daripada individu berstatus suami orang menerusi media sosial miliknya dan setakat ini, dia bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mana-mana individu yang dimaksudkan dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Erynne telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2019 dan melahirkan seorang cahaya mata perempuan pada tahun 2020. Namun demikian, pada tahun 2024, dia mengumumkan perceraian dengan suaminya Afify Sazali di Instagram rasmi beliau setelah lima tahun berumahtangga.










