Jika sebelum ini orang ramai perlu ke Thailand bagi merasai kemeriahan pesta air Songkran, kini pengalaman sama boleh dinikmati tanpa perlu ke luar negara.
Inisiatif tersebut direalisasikan menerusi penganjuran Night Splash Water Festival di SplashMania Waterpark yang tampil dengan konsep lebih segar dan moden.
Acara yang berlangsung setiap Jumaat dan Sabtu sepanjang April hingga bulan Mei ini berjaya mengubah suasana taman tema air berkenaan menjadi sebuah festival malam yang meriah.
Seawal pukul 7 malam, pengunjung mula memenuhi kawasan taman tema dengan pakaian santai serta kelengkapan permainan air.
Ada yang hadir bersama rakan-rakan, tidak kurang juga keluarga yang membawa anak-anak untuk merasai pengalaman berbeza pada waktu malam.
Dentuman muzik yang dipersembahkan oleh DJ jemputan terus membangkitkan suasana pesta sebaik sahaja acara bermula.
Antara yang mencuri perhatian ialah persembahan daripada DJ Anna, DJ Kenji, DJ Nesh dan lain-lain.
Gabungan muzik berentak rancak dengan percikan air menjadikan suasana seakan berada di festival antarabangsa.

Konsep acara ini diinspirasikan daripada pesta air terkenal di Asia Tenggara, namun disesuaikan dengan budaya tempatan.
Pendekatan tersebut menjadikan festival ini bukan sahaja menyeronokkan, malah sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Selain aktiviti bermain air, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai persembahan menarik sepanjang malam.
Pertunjukan api dan cahaya yang dipersembahkan menambahkan elemen dramatik kepada keseluruhan acara.
Dalam masa sama, terdapat juga permainan karnival yang memberi peluang kepada pengunjung untuk berhibur di luar kolam.
Bagi penggemar makanan, pelbagai hidangan berkonsepkan makanan jalanan Thai turut ditawarkan di sekitar lokasi.
Antaranya termasuk bihun tom yam, oden, roti Thai, aiskrim kelapa, nasi urang penyet dan lain-lain lagi yang menjadi pilihan ramai.
Pengunjung yang ingin berehat pula boleh menikmati perkhidmatan urutan Thai ekspres yang disediakan.
Menariknya, SplashMania turut memperkenalkan zon baharu dikenali sebagai Indah Family Centre.
Zon ini menawarkan pelbagai hiburan darat seperti mesin tinju, claw machine dan gachapon.
Night Splash Water Festival bukan sekadar hiburan biasa, malah boleh menjadi tarikan baharu di Selangor.










