Mahkamah Australia kekal denda RM1.8 juta terhadap platform X

Mahkamah Australia kekal denda RM1.8 juta terhadap platform X

ELON Musk membeli Twitter pada 2022 sebelum menjenamakan semula platform media sosial itu sebagai X.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CANBERRA: Mahkamah Persekutuan Australia hari ini mengekalkan denda terhadap platform media sosial X milik Elon Musk kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan internet kanak-kanak, sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang selama tiga tahun antara syarikat itu dengan kerajaan Australia.

Mengikut undang-undang negara itu, pengawal selia internet eSafety mempunyai kuasa mengenakan denda terhadap syarikat yang gagal memberikan maklumat terperinci mengenai langkah melindungi kanak-kanak di platform dalam talian.

Pada Februari 2023, eSafety mengarahkan Twitter, sebelum dijenamakan semula sebagai X, menjelaskan tindakan diambil bagi membendung penyebaran kandungan penderaan seksual kanak-kanak.

Sebulan kemudian, Twitter digabungkan ke dalam syarikat baharu milik Musk, X Corp, yang kemudian didapati memberikan maklum balas tidak lengkap terhadap permintaan berulang suruhanjaya itu.

Mahkamah sebelum ini pada Oktober 2024 memutuskan X wajib mematuhi notis berkenaan, sebelum mahkamah hari ini mengarahkan platform itu membayar denda sebanyak AU$650,000 (RM1.8 juta).

Hakim Persekutuan, Michael Wheelahan, berkata hukuman hampir maksimum itu wajar dikenakan memandangkan X merupakan syarikat besar dan denda berkenaan perlu memberi kesan pencegahan sebenar, bukan sekadar dianggap kos operasi perniagaan.

Kerajaan Australia sebelum ini menjadi antara negara paling ke hadapan dalam usaha global mengekang pengaruh syarikat teknologi gergasi, termasuk melaksanakan undang-undang pertama seumpamanya di dunia tahun lalu yang melarang individu bawah 16 tahun daripada mengakses platform media sosial seperti Instagram dan TikTok.

Beberapa negara kini dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah serupa bagi mengetatkan kawalan media sosial, dengan dokumen diperoleh AFP menunjukkan Israel, United Kingdom, Norway dan New Zealand mengadakan pertemuan dengan pegawai Canberra selepas menyatakan ‘minat’ terhadap larangan itu.

Ketua eSafety, Julie Inman Grant, berkata ketelusan yang bermakna amat penting bagi memastikan syarikat teknologi dipertanggungjawabkan.

“Ini bukan sahaja sebahagian penting daripada tugas kami sebagai pengawal selia keselamatan dalam talian Australia, malah ia turut memberikan maklumat penting kepada rakyat Australia mengenai bagaimana syarikat-syarikat ini menangani kandungan paling berbahaya di platform mereka,” katanya susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN