JELI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli mengenal pasti dua identiti lelaki yang ditemukan tertimbus di dalam lubang yang digali mereka dipercayai untuk melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong, di sini malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Izuan Che Ibrahim, berkata, kedua-dua mangsa adalah Muhamad Ali Akhbar, 38, dan Mohamad Noor Illyas Suhaisham, 32.
“Kedua-dua mangsa maut di lokasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Terdahulu, dua lelaki dilaporkan maut tertimbus di dalam lubang yang digali mereka dipercayai untuk melombong emas di kawasan anak sungai Ladang Sawit Jerimbong.
Seorang lagi mangsa terselamat dalam kejadian pukul 8.20 malam itu. – UTUSAN










