JOHOR BAHRU: Tindakan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad yang tidak menzahirkan penghargaan kepada barisan Exco kerajaan negeri ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat seperti tidak menghargai sokongan diberi parti lain kepadanya.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, senario itu menunjukkan sikap pemimpin UMNO yang tidak tahu atau tidak mahu menghargai sokongan diberikan.
Menurut beliau, sedangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini dianggap sebagai pihak lawan itu telah bersikap terbuka menyokong dan bekerjasama semata-mata demi kepentingan rakyat Johor serta kestabilan politik negeri.
“Inilah sisi lain sikap pemimpin UMNO Johor dan tekanan pihak tertentu dalam parti sendiri, sanggup mengkhianati prinsip perkongsian kuasa, sokongan dan komitmen PN walaupun ia tidak dimeterai secara bertulis.
“Sebaliknya, PN tidak pernah mengkhianati integriti politik dan kepercayaan yang diberi UMNO kerana menyedari tindakan mencabul ikatan janji tersebut akan disifatkan sebagai pengkhianatan serta mementingkan diri sendiri.
“Di Johor, kita seolah-olah ada memorandum persefahaman tetapi memang kita tidak tandatangani apa-apa dokumen bagi memegang janji tersebut. Ia melibatkan parti komponen atau pembangkang.
“Jadi, sebagai parti komponen dan Exco dalam kerajaan, kita sentiasa sokong Menteri Besar. Dalam DUN Johor pun pembangkang menyokong Menteri Besar dan Speaker DUN pun sokong beliau,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Solihan, sokongan itu diberi kerana pihaknya mementingkan soal rakyat Johor tetapi apabila hendak dibubarkan DUN, UMNO langsung tidak pernah meminta pandangan mereka.
“Malah tidak ada pun sepatah kata ‘terima kasih’ kepada Exco beliau ketika Mesyuarat Khas Kerajaan Negeri pada hari tersebut (pembubaran), apatah lagi beliau nak minta pandangan kita. Itulah sikap mereka.
“Pada masa sama, saya nampak Menteri Besar membuat kenyataan dalam keadaan tertekan seolah-olah pada hari itu beliau mungkin tak nak bubar (DUN) tapi pihak lain (mahu berbuat demikian),” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd. Solihan mahu rakyat menilai sikap negatif pemimpin UMNO yang dengan mudah mempermain kepercayaan dan mengkhianati perkongsian kuasa yang dipersetujui.
“Sepatutnya, pengundi terutama orang Barisan Nasional (BN) dan orang Melayu faham bagaimana sikap pemimpin mereka.
“Memang penyokong BN dan UMNO susah hendak diubah tapi sekarang ini pengundi generasi muda berumur 18 tahun sepatutnya lihat sikap itu yang tiada integriti politik sekali gus membuat penilaian dengan perspektif yang berbeza.
“PN Johor yakin akan mendapat sokongan pengundi dan akan membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor nanti. Kita tidak boleh lagi membenarkan UMNO dengan sifat-sifat negatifnya, cara pemikiran pemimpinnya serta sikap buruknya kembali apabila berkuasa,” katanya. –UTUSAN











