Empat daerah di Johor masih terjejas banjir - Utusan Malaysia

Empat daerah di Johor masih terjejas banjir

SEORANG kanak-kanak bermain air bersama pendayung di Kampung Pogoh Tengah, Segamat. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini tidak menunjukkan banyak perkembangan apabila seramai 4,274 mangsa masih ditempatkan di 57 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi setakat pukul 4 petang, hari ini.

Jumlah itu hanya berkurangan sedikit berbanding jumlah 4,346 mangsa banjir yang ditempatkan di 58 PPS seperti direkodkan pada pukul 12 tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, setakat ini sebanyak empat daerah masih terjejas akibat banjir di Johor iaitu Segamat, Muar, Tangkak dan Batu Pahat.

“Ketika ini, Segamat kekal menjadi daerah paling teruk terjejas dengan seramai 2,291 mangsa, diikuti Muar (1,115 mangsa), Tangkak (814 mangsa) dan Batu Pahat (54 mangsa).

“Sementara itu, lima PPS yang telah ditutup hari ini adalah PPS Balairaya Kampung Pudu di Segamat dan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 8, SK Ledang, SK Simpang Lima Darat dan Sekolah Agama Simpang Lima Darat di Tangkak,” katanya.

Sementara itu, terdapat empat sungai yang masih menunjukkan paras bacaan bahaya iaitu di Buloh Kasap, Segamat; Kampung Olak Sepam dan Panchor, Muar serta di Kampung Labong, Mersing.

“Ketika ini, masih terdapat 31 laluan yang terputus hubungan di seluruh negeri dan kita berharap rakyat akan terus mengambil langkah berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN