DUN Johor bubar, PRN dalam masa terdekat

Sultan Ibrahim perkenan bubarkan DUN Johor, PRN dalam masa terdekat

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran DUN Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Baginda berbuat demikian selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad di Istana Bukit Serene, di sini pada pukul 5 petang tadi.

Dengan keputusan itu, Johor bakal menjadi negeri seterusnya yang akan menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan selepas Sabah, Melaka dan Sarawak, sebelum ini.

Hal itu selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani dokumen watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Turut berkenan menyaksikan Sultan Ibrahim menandatangani watikah itu termasuklah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Watikah yang ditandatangani baginda itu berkenaan Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Ta’zim termansuh pada 22 Januari 2022.

Sementara itu, Hasni memberitahu, tarikh pelaksanaan PRN Johor itu bagaimanapun tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Keputusan melaksanakan PRN ini dibuat kerana saya merasakan kerajaan Johor ketika ini hanya bergerak atas ihsan pembangkang.

“Contohnya ketika sidang DUN lalu, ADUN pembangkang bertegas meminta untuk mereka dilibatkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah walaupun perkara itu dalam bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri.

“Kerana mereka (PH) bertegas maka undian dibuat menyaksikan kedudukan seri 27 menyokong dan 27 membangkang, akhirnya Speaker DUN daripada PH menyokong kerajaan, itu yang saya cakap atas ihsan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat UMNO Johor, di sini selepas kembali dari Istana Bukit Serene.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi UMNO Johor turut memberitahu, perihal berkenaan pembubaran DUN Johor akan dimaklumkan kepada SPR oleh Speaker DUN Johor.

“Mereka akan mengadakan perbincangan untuk menetapkan tarikh pelaksanaan PRN dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN Johor,” ujarnya.

Terdahulu, mesyuarat UMNO negeri yang diadakan bermula pukul 2 petang itu menyaksikan semua 26 Ketua UMNO Bahagian negeri ini hadir termasuk nama-nama besar parti berkenaan.

Ini termasuklah Naib Presiden UMNO yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha UMNO Johor yang juga Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsolbari Jamali dan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn.

Selain itu, turut kelihatan termasuklah Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua UMNO Bahagian Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Sidang akhbar dijalankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu sekaligus merungkai khabar angin yang bertebaran sejak akhir tahun lalu bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan.

Khabar angin bahawa Johor bakal menyaksikan PRN diadakan semakin kedengaran khususnya selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember lalu.

Hal itu menyebabkan kedudukan kerajaan negeri Johor dilihat tidak kukuh kerana hanya mempunyai majoriti satu kerusi iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang di DUN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya