MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kesal dengan sikap segelintir premis jualan di Melaka yang masih berdegil menjual barangan tamat tarikh luput, tiada tarikh luput, keadaan bungkusan atau makanan rosak dan tiada pelabelan.
Pengarahnya, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, sepanjang tempoh dari 10 hingga 24 Januari laju, pemeriksaan mendapati kebanyakan premis tidak mematuhi Akta Makanan 1983.
Menurutnya, dalam operasi tersebut, sebanyak lapan kompaun dikeluarkan bernilai RM23,500 atas pelbagai kesalahan daripada segi keadaan bungkusan, pelabelan dan makanan yang melepasi tarikh luput.
Katanya, pihaknya turut merampas sebanyak 637 pelbagai barangan makanan bernilai RM3,835.04 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985.
“Selain pemantauan keselamatan makanan, JKN juga turut melaksanakan pemeriksaan kebersihan makanan dan sebanyak 278 premis telah diperiksa.Daripada jumlah tersebut, sebanyak empat premis diarahkan ditutup sementara kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya selepas menjalankan operasi di sebuah pasar raya dekat Malim, petang semalam.
Rusdi berkata, sebanyak 141 kompaun bernilai RM14,750 telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009. – UTUSAN ONLINE