KOTA BHARU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum kemungkinan sukan muay thai disenaraikan sebagai salah satu acara di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Timbalan Ketua Setiausaha Belia dan Sukan, Abdullah Hassan berkata, semua pihak sedia maklum muay thai adalah acara sukan yang mampu memberi kelebihan bagi Thailand selaku tuan rumah selain sepak takraw dan bola sepak.
Katanya, Malaysia mempunyai persatuan induk yang mengendalikan sukan tersebut dan ia pasti menjadi rujukan utama pihaknya bagi menyediakan atlet-atlet berpotensi.
“Jika sukan muay thai dipertanding pada Sukan SEA 2025 nanti, kita rujuk persatuan induk sukan tersebut di Malaysia untuk sebarang nasihat. Persatuan itu juga akan menjalankan tanggungjawab menyediakan atlet.
“Jadi pemilihan akhir ditentukan persatuan manakala KBS menguruskan penghantara atlet ke temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu,” katanya slepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Masjid Jamek Muhammadi, di sini hari ini. – UTUSAN










