KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan menggunakan sepenuhnya peruntukan RM630 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi menangani masalah banjir serta melaksanakan program pemuliharaan alam sekitar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peruntukan itu sangat penting dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
“Peruntukan yang diberi ini sangat penting bagi kita kerana di samping kita membangunkan negara, kita juga dalam proses berdepan dengan masalah dari segi perubahan iklim,” katanya ketika menghadiri program Fun Walk sempena sambutan Hari Sukan Negara di Taman Tasik Datuk Keramat disini, hari ini.
Kerajaan dalam Belanjawan 2026 semalam, mengumumkan peruntukan sebanyak RM630 juta bagi tujuan perlindungan khazanah alam negara
Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu disediakan bagi memastikan ikhtiar melindungi khazanah flora dan fauna negara diteruskan.
Mengulas lanjut, Johari berkata, jika perubahan iklim tidak ditangani, ia akan menjejaskan negara melalui bencana seperti banjir dan kemarau.
“Jadi, bila perubahan iklim ini kalau kita tak atasi ataupun kita tidak mencari jalan penyelesaian, ataupun kita tidak terlibat bagaimana mengawal perubahan iklim yang begitu drastik, dia akan menjejaskan negara kita.
“Contoh banjir, kemarau adalah benda-benda yang perlu kita pastikan bahawa rakyat menyedari betapa pentingnya kita menjaga alam sekitar,” katanya. – UTUSAN









