SELEPAS lebih tiga dekad, Surekha Yadav, menamatkan perkhidmatannya sebagai pemandu kereta api wanita pertama di India.
Sepanjang kerjayanya, beliau mengendalikan pelbagai jenis kereta api merentasi negara itu, dan kadangkala melalui kawasan mencabar serta cuaca ekstrem.
Hari ini, terdapat lebih 2,000 pengendali kereta api wanita di Indian Railways, namun ketika Yadav mula menceburi bidang itu, profesion tersebut amat jarang disertai wanita.
Dilahirkan pada 1965 di sebuah bandar kecil di Maharashtra, barat India, beliau berasal daripada keluarga petani dan merupakan anak sulung daripada lima beradik.
Sejak kecil, Yadav sudah biasa bekerja keras, membantu keluarganya di ladang sambil meneruskan pelajaran.
Ibu bapanya sentiasa menggalakkannya untuk mengutamakan pendidikan.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik, Yadav segera mengintai peluang pekerjaan.
Kebetulan ketika itu, beliau ternampak iklan akhbar Indian Railways yang mencari pembantu pemandu kereta api, dan tidak mengetahui profesion itu belum pernah diteroka golongan wanita.

BIDANG DIKUASAI KAUM LELAKI
Kerjaya di sektor kerajaan sangat menjadi rebutan di India kerana lebih terjamin dan menawarkan pelbagai kemudahan.
Namun, bukan mudah untuk terpilih kerana perlu bersaing dengan ribuan permohonan dari seluruh negara.
Yadav berjaya melepasi proses pemilihan dengan cemerlang dan mendapat pekerjaan pertamanya sebagai pemandu kereta api barang pada 1989.
Hanya setelah memulakan latihan, barulah beliau sedar bidang itu dikuasai sepenuhnya oleh kaum lelaki.
“Saya tertanya-tanya apa yang harus dilakukan,” katanya.
Yadav sedar beliau membuat pilihan yang sukar kerana pekerjaan itu bukan mudah, namun beliau tidak menyesal.
Menceritakan semula tahun-tahun awal perkhidmatan, Yadav mengakui dirinya berdepan pelbagai cabaran.
“Banyak perkara dipelajari kerana tiada buku yang boleh mengajar anda bagaimana untuk menjadi pemandu kereta api yang baik,” katanya.
Pengendali kereta api menggunakan pelbagai sistem pemantauan untuk mengawasi setiap aspek perjalanan, termasuk laluan dan kelajuan.
Setiap hari ribuan kereta api bersilang di rangkaian landasan India, membawa berjuta-juta penumpang ke destinasi masing-masing.
Kereta api di India sering digelar ‘nadi kehidupan negara’ kerana akses perkhidmatannya yang meluas dan tambang mampu milik.
CABARAN
Yadav berkata, beliau mempelajari seni mentafsir petunjuk, menjangka masalah dan bertindak pantas bagi mengelak krisis.
Pada 1996, beliau dinaikkan pangkat sebagai juruterbang lokomotif, pengendali utama bilik kawalan kereta api atau ‘pusat saraf’ sistem pemanduan.
Waktu kerja yang tidak menentu akibat kelewatan atau kemalangan merupakan antara cabaran paling sukar dalam kerjayanya.
Bahkan, waktu makan yang tidak menentu serta ketiadaan tandas serta bilik persalinan khas untuk wanita di sesetengah kereta api menambah lagi cabaran yang dihadapi.
Yadav berkata, beliau pernah mengendalikan kereta api di landasan yang ditenggelami banjir, merentasi laluan pergunungan dan menempuh perjalanan berhari-hari.
Sepanjang 36 tahun kerjayanya, beliau berpeluang membimbing ramai calon pemandu kereta api baharu, termasuk wanita yang ingin menceburi bidang itu.
Pada hari terakhir perkhidmatan, Yadav memandu Rajdhani Express, kereta api jarak jauh paling berprestij di India.
Setibanya di stesen terakhir di Mumbai, pusat kewangan negara itu, beliau disambut meriah oleh rakan sekerja dengan paluan gendang dan persembahan tarian.
“Saya tidak pernah menyangka akan memandu kereta api sehingga usia 60 tahun,” katanya.










