Beli sijil vaksinasi demi bonus tahunan - Utusan Malaysia

Beli sijil vaksinasi demi bonus tahunan

ARSHAD ABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sepasang suami isteri antivaksin dicekup selepas dipercayai membeli sijil digital suntikan vaksin Covid-19 palsu berharga RM1,000 demi mendapatkan bonus tahunan. 

Pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang Selasa lalu, selepas dipanggil memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah. Turut ditahan adalah rakan sejabatan mereka berusia 58 tahun yang dipercayai ahli sindiket pemalsuan sijil digital tersebut. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, suspek ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang kakitangan jabatan tersebut yang curiga dengan sijil dimiliki pasangan terbabit. 

Katanya, sebelum laporan itu dibuat, pengadu telah mendapatkan pengesahan daripada Klinik Kesihatan Rembia mengenai status pengambilan vaksin pasangan tersebut seperti dinyatakan pada sijil digital berkenaan. 

“Pengadu kemudian menerima maklum balas daripada pihak klinik yang mengesahkan kedua-dua penama tidak pernah menerima vaksin di situ. Susulan itu pengadu telah membuat laporan polis kerana berasakan pasangan tersebut telah menipu pihak jabatan dengan mengemukakan sijil digital palsu suntikan lengkap dua dos vaksin Covid-19 aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil soal siasat pasangan terbabit mengakui membeli sijil tersebut daripada rakan sejabatan mereka pada harga RM500 setiap satu untuk mendapatkan bonus tahunan. 

“Suspek juga telah menggunakan sijil digital palsu ini untuk kemudahan harian mereka memasuki premis-premis lain. Susulan itu, kita menahan seorang lagi lelaki yang merupakan rakan sejabatan mereka kerana disyaki menjual sijil digital palsu ini pada harga antara RM300 sehingga RM500 bagi setiap satu,” katanya. 

Tambahnya, semakan lanjut mendapati, pasangan itu juga pernah membuat laporan polis atas faktor keselamatan dengan menyatakan kedua-dua mereka merupakan antivaksin, pertengahan tahun lalu.

Arshad berkata, pihak polis kini sedang memburu dalang utama sindiket itu yang digelar ‘Vnilai’ dan ketiga-tiga suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya