Bapa tiga anak kekal digantung berkaitan insiden tembak ahli perniagaan - Utusan Malaysia

Bapa tiga anak kekal digantung berkaitan insiden tembak ahli perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bapa tiga anak kekal menjalani hukuman mati berkaitan kesalahan pemilikan senjata api dan kejadian tembakan ketika cuba merompak seorang ahli perniagaan wanita warganegara Singapura, hampir sembilan tahun lalu.

Demikian keputusan sebulat suara Mahkamah Rayuan hari ini selepas menolak rayuan Mohd. Nazarudin Khairudin, 33, terhadap sabitan dan hukuman gantung sampai mati yang diputuskan terhadapnya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah berpuas hati rayuan bapa tiga orang anak itu tiada merit.

Mahkamah berpendapat, isu kecacatan pada pertuduhan yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, tidak memprejudiskan Mohd. Nazarudin

Ini kerana berdasarkan rekod rayuan, perayu memahami pertuduhan yang dikenakan terhadapnya ketika membela diri.

Hakim Hanipah berkata, pada hemat mahkamah, isu utama yang dibangkitkan dalam rayuan ialah sama ada pertuduhan cacat iaitu berkaitan ‘perkataan bersama-sama seorang lain yang telah meninggal dunia’ dan penggunaan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dengan keputusan itu, sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Jun 2018, selamat untuk dikekalkan.

Mahkamah Tinggi ketika itu berpendapat, pertuduhan tidak memprejudiskan Mohd. Nazarudin kerana dia memahami peranannya sebagai rakan sejenayah.

Jelas hakim bicara, walaupun tertuduh tidak melepaskan tembakan namun dia gagal menghalang rakannya daripada melepaskan tembakan atau menghalang dirinya daripada melakukan tindakan jenayah.

Menurut pertuduhan, Mohd. Nazarudin bersama-sama rakan sejenayahnya, Azman Aini, 39, yang telah meninggal dunia didapati mengetahui bahawa lelaki itu (Azman) memiliki senjata api dan melepaskan tembakan terhadap Lee Siaw Khie Jane dengan niat menyebabkan kematian atau mencederakannya.

Perayu disabitkan melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 3.40 petang, 22 April 2013 di Jalan Middle Kampung Sungai Buloh, Selangor.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mohd. Nazarudin diwakili oleh peguam Azamuddin Abd. Aziz manakala pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fairuz Johari dan Mohd. Zain Ibrahim.

Keterangan kes menunjukkan, mangsa yang berada dalam kereta Mercedes-Benznya didatangi oleh dua lelaki bermotosikal sambil mengarahkannya keluar daripada kenderaan.

Azman yang menunggang motosikal mengacukan sepucuk pistol ke arah wanita itu manakala perayu selaku pembonceng turun daripada motosikal tersebut sambil cuba membuka pintu bahagian pemandu.

Mangsa bagaimanapun bertindak menekan pedal minyak dan meninggalkan kedua-duanya menyebabkan satu das tembakan dilepaskan ke arah kereta dan terkena bahagian cermin pintu bahagian pemandu.

Ahli perniagaan itu dikejar oleh motosikal tersebut sehingga tiba di balai polis.

Keterangan kes turut menyatakan, kira-kira dua bulan kemudian, polis mengesahkan Azman merupakan individu yang ditembak mati dalam satu kejadian tembakan di kawasan perkuburan di Paya Jaras.

Susulan itu, perayu ditangkap pada 19 Ogos 2013 di rumah ibu mentuanya dan polis merampas sepucuk pistol jenis Walter P99 AS yang terselit di pinggangnya serta satu magazin berisi lima butir peluru.

Ujian balistik dan analisis terhadap pistol berkenaan menunjukkan peluru yang dijumpai dalam kereta mangsa sepadan dengan peluru yang dilepaskan semasa cubaan merompaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.