Anak Allahyarham Osman Sapian mahu tanding DUN Kempas di bawah tiket Pejuang - Utusan Malaysia

Anak Allahyarham Osman Sapian mahu tanding DUN Kempas di bawah tiket Pejuang

NORNEKMAN OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nornekman Osman, anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian berharap akan diberikan peluang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Nornekman yang merupakan Timbalan Ketua Negeri Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor berkata, walaupun bertanding atas tiket parti politik lain, namun itu tidak menghalang dirinya untuk meneruskan legasi peninggalan Allahyarham.

Beliau bagaimanapun tetap akan akur dengan sebarang keputusan kepimpinan parti melibatkan soal pencalonan dalam PRN Johor.

“Jika boleh, memang hendak menjadi calon DUN Kempas, ini bagi menyambung legasi perkhidmatan arwah yang ketika beliau meninggal masih lagi berada dalam perkhidmatan sebagai wakil rakyat.

“Sedikit sebanyak, kerusi DUN Kempas dan penduduknya amat dekat di hati kami sekeluarga, termasuklah saya sendiri sepanjang tiga penggal arwah menjadi wakil rakyat di situ.

“Walaupun bertanding atas tiket parti yang berlainan, bagi saya latar belakang calon akan turut menjadi faktor bagi pengundi selain daripada parti diwakili mereka, jadi saya memang bersedia,” katanya ketika ditemui di pejabat Pejuang Johor, di sini hari ini.

Tambah Nornekman, walaupun telah terlibat dalam dunia politik lebih awal sebelum ini, namun kerana akur dengan nasihat Allahyarham bapanya, beliau tidak bergiat aktif dalam politik di DUN Kempas.

“Arwah ayah tidak beri saya duduk dalam bahagian yang sama dengan dia, ketika dia masih bersama UMNO dahulu, saya di bahagian Johor Bahru. Katanya, politik bukan boleh turun menurun, you (saya) kena cari peluang sendiri kerana dia tidak mahu anak ikut bapa di kawasan yang sama.

“Bapa kata ia penting kerana bila dia tiada, nanti saya akan susah,” katanya mengimbau nasihat Allahyarham ketika masih baharu hendak menyertai kancah politik tanah air.

Allahyarham Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor meninggal dunia pada 21 Disember tahun lalu ketika mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur kerana diserang strok ringan.

Pemergian Allahyarham dikatakan antara faktor utama PRN Johor bakal diadakan selepas kerajaan negeri dilihat goyah kerana hanya memiliki kelebihan satu kerusi DUN iaitu 28 kerusi berbanding 27 kerusi milik pembangkang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya