Hangat juga cerita yang sampai ke telinga Cik Bunga kali ini. Nampaknya ada seorang pelakon cantik manis yang sebelum ini pernah melalui episod putus cinta dengan teman lelakinya, kini sudah pun menemui pengganti baharu.
Biasalah, bila hati sudah retak, mestilah perlukan seseorang untuk menjadi penawar luka. Cik Bunga pun tumpang gembira pada mulanya. Siapa tidak mahu lihat orang kembali bahagia, bukan?
Tapi, apabila diselidiki, rupa-rupanya ada cerita lain di sebalik hubungan baharu itu.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, jejaka yang kini rapat dengan pelakon tersebut bukan calang-calang orang. Katanya, lelaki itu seorang usahawan berjaya, poket tebal, hidup pun serba mewah. Memang jenis lelaki idaman ramai wanitalah kiranya.
Namun, yang buat Cik Bunga hampir tersembur kopi pagi tadi, lelaki itu sebenarnya sudah beristeri!
Dengar cerita lagi, hubungan sulit mereka ini bukan lagi rahsia. Isteri kepada usahawan berkenaan sudah pun tahu tentang skandal suaminya dengan si pelakon jelita itu.
Malah, si isteri dikatakan pernah mengajak pelakon wanita itu untuk bersemuka. Bukan mahu bergaduh tarik rambut ya, tetapi lebih kepada mahu menyelesaikan perkara secara matang.
Ketika pertemuan itu, pelakon berkenaan kononnya memberi jaminan bahawa dia mahu mengundur diri dan tidak akan lagi meneruskan hubungan tersebut. Katanya, dia sedar dirinya berada di pihak yang salah.
Wah! Kalau betul begitu, baguslah. Sekurang-kurangnya masih ada rasa bersalah. Tetapi,itu cuma di mulut sahajalah nampaknya.
Sumber sama memaklumkan kepada Cik Bunga, hubungan mereka dikatakan masih berjalan seperti biasa. Pelakon itu seolah-olah tidak mampu melepaskan lelaki berkenaan walaupun sudah tahu status sebenar si jejaka. Aduhai, cinta memang kadang-kadang buat orang hilang pertimbangan.
Cik Bunga bukanlah mahu menghukum sesiapa, tetapi kalau sudah tahu lelaki itu milik orang, eloklah berundur dengan bermaruah. Jangan sampai nama sendiri tercalar, kerjaya pun terkena tempias.Tambahan pula, sebagai figura awam, setiap langkah pasti jadi perhatian. Hari ini mungkin rahsia masih tersimpan, esok lusa belum tentu.
Jadi, kepada pelakon jelita itu, fikir-fikirkanlah. Lelaki kaya memang ramai tergoda, tapi ketenangan hidup itu jauh lebih berharga.










