TANGGUNGJAWAB menjaga dan mempertahankan kedaulatan kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara daripada segala ancaman bukan satu tugas yang mudah.
Amanah yang perlu dipikul Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini sememangnya menuntut kecekalan, selari dengan cogan kata ‘Sedia Berkorban’.
Di usia mencecah 92 tahun, TLDM terus mengorak langkah terutama dalam mendepani ancaman yang semakin kompleks sekali gus menuntut pengorbanan lebih besar melibatkan setiap aspek.
Namun, kekangan aset menjadi cabaran utama yang perlu ditangani secara berhemah dan strategik.
Tanpa platform yang mencukupi dan moden, keupayaan untuk melaksanakan rondaan, pengawasan serta operasi penguatkuasaan di perairan negara boleh terjejas.

bagi memusnahkan aset permukaan musuh.
Usaha pengukuhan semula keupayaan serangan TLDM yang kini hanya memiliki keupayaan terhad sangat penting, apatah lagi dengan jumlah platform yang ada berbanding ketika tahun 2009 iaitu sehingga mencecah 18 platform penembakan misil.
TLDM pada masa itu mempunyai dua buah kapal kelas frigat, dua buah korvet, empat buah kelas laksamana , lapan buah kapal serang pembinasa (FAC) dan dua buah kapal selam jika dibanding pada masa ini.
Justeru, segala pelan strategik telah dirangka pucuk pimpinan bersempena Hari TLDM Ke-92 bagi memastikan ia mampu menjadi salah satu kuasa armada yang cukup digeruni di rantau ini.
Empat Teras Utama Ke Arah Pemerkasaan TLDM
Menurut Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain, empat teras utama akan diberi tumpuan agar TLDM kekal relevan dalam mendepani cabaran masa kini.
Katanya teras pertama yang akan menjadi panduan ke arah memperkasakan ketumbukan TLDM adalah memastikan kesiagaan armada berada di tahap terbaik.

“Walaupun berdepan dengan cabaran mengoperasikan aset berusia, saya dan barisan kepimpinan TLDM akan terus berusaha memastikan setiap perancangan peningkatan kesiagaan dapat dilaksanakan dan mendapat sokongan terutamanya daripada pihak kerajaan.
“Sebagai contoh Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) kini sedang giat dilaksanakan oleh pihak Lumut Naval Shipyard (LUNAS). Kita menjangkakan penerimaan kapal LCS pertama pada penghujung tahun 2026 dan ini bakal menjadi peristiwa bersejarah yang dinanti-nantikan oleh seluruh negara,” katanya.
Kata Zulhelmy, selain LCS, pembinaan Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2 di Turkiye kini sedang berjalan dengan lancar dan keupayaan kapal terbaharu ini adalah jauh lebih tinggi berbanding batch pertama, ia akan menjadi tunjang pertahanan TLDM kelak.
Menurut Zulhelmy lagi, TLDM juga sedang mempergiatkan usaha untuk perolehan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (MRSS) bagi membantu tugas-tugas yang sebelum ini banyak dilaksanakan Kapal Diraja (KD) Mahawangsa dan KD SRI INDERA SAKTI.
“Sebagaimana kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, keperluan aset yang kita miliki ini bukan sekadar untuk berperang, tetapi untuk diplomasi pertahanan dan bantuan kemanusiaan atau Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang lebih berkesan.

“TLDM kekal sebagai perisai maritim negara, berdiri teguh di barisan hadapan dalam memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara. Dengan kredibiliti, kesiapsiagaan dan keupayaan yang terus diperkukuh, TLDM akan terus disegani serta menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Selamat Menyambut Hari TLDM Ke-92.”
Dalam pada itu, Zulhelmy berkata, Pelan Transformasi 15to5 yang menjadi panduan utama pembangunan armada negara akan terus diperkasakan dengan diletakkan di bawah teras kedua.

Tegasnya, melalui pelan itu, TLDM menyasarkan pembentukan armada yang lebih kecil dari segi jumlah aset, namun memiliki keupayaan tempur yang jauh lebih berkesan dan moden.
“Penyelarasan semula pembinaan LCS dan perolehan aset baharu LMS Batch 2 serta MRSS yang sedang giat diusahakan adalah sebahagian daripada strategi adaptasi kita,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zulhelmy berkata, penglibatan industri pertahanan tempatan turut dilihat sebagai elemen penting dalam memperkukuh keupayaan TLDM.
Ini penting selepas kerjasama dengan syarikat domestik diharapkan dapat membolehkan pembangunan sistem pertahanan moden yang lebih berdaya saing serta mampu memenuhi keperluan operasi maritim semasa.
“Pendekatan tersebut bukan sekadar memberi tumpuan kepada pemilikan kapal semata-mata, sebaliknya memastikan setiap aset dilengkapi dengan sistem tempur berteknologi tinggi yang mampu menghadapi ancaman peperangan maritim moden termasuk penggunaan dron dan peperangan elektronik,” ujarnya.

Sementara itu, Zulhelmy yang menyentuh mengenai konteks keselamatan negara berkata, TLDM menekankan kepentingan kerjasama strategik antara cabang perkhidmatan ATM.
Katanya, pertahanan maritim tidak boleh digalas secara bersendirian, sebaliknya memerlukan sinergi erat bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi memastikan keupayaan pertahanan negara lebih menyeluruh dan bersepadu.
Kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut diperkukuh bagi memastikan keselamatan ZEE negara sentiasa terpelihara daripada sebarang pencerobohan asing.
“Pendekatan ‘whole-of-government, whole-of-society’ (WOGOS) yang ditekankan Kementerian Pertahanan juga akan dilaksanakan melalui penganjuran latihan dan eksesais bersama secara lebih kerap bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan semua pihak terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, Zulhelmy turut menegaskan aspek pembangunan modal insan terus menjadi fokus utama TLDM.
Beliau menyifatkan sumber manusia dianggap sebagai aset paling berharga dalam memastikan keberkesanan setiap sistem dan aset pertahanan yang dimiliki.
Justeru katanya, untuk tahun 2026 TLDM memberi tumpuan kepada pelaksanaan proses kenaikan pangkat dan pemilihan kursus yang lebih telus serta bebas daripada sebarang prejudis bagi memastikan setiap warga perkhidmatan mendapat peluang yang adil untuk membangunkan kerjaya masing-masing.
Zulhelmy dalam masa yang sama menegaskan usaha memperkasa masa depan warga TLDM turut diteruskan melalui program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) yang membolehkan anggota memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
Inisiatif tersebut dilihat mampu membantu anggota bukan sahaja meningkatkan kelayakan semasa dalam perkhidmatan, malah menyediakan mereka dengan peluang kerjaya yang lebih kompetitif apabila menamatkan perkhidmatan kelak sebagai veteran.
Di samping itu katanya, fokus TLDM untuk tahun ini adalah untuk memastikan pemilihan kenaikan pangkat dan kursus dibuat tanpa prejudis atau berat sebelah.
“Tiada lagi istilah pilih kasih atau birokrasi yang membantutkan kerjaya warga The Navy People yang cemerlang.
“Kecemerlangan organisasi kita dipupuk dalam persekitaran di mana setiap anggota berasa dihargai, disokong dan didorong untuk mencapai potensi sepenuhnya,” ujarnya.
Kekuatan Terletak Pada Akhlak
Dengan usia TLDM yang kini cukup matang dan hampir mencecah 100 tahun, Zulhelmy turut mengingatkan warganya agar terus berpegang teguh kepada nilai integriti dan akhlak dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan sebenar sesebuah organisasi ketenteraan bukan sahaja terletak pada keupayaan aset atau teknologi, tetapi juga pada nilai dan prinsip yang dipegang oleh setiap anggotanya.
“Ingat, kekuatan sebenar kita terletak pada akhlak dan integriti. Apabila nilai ini diketepikan demi kepentingan peribadi, keselamatan negara boleh terdedah kepada ancaman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengarahkan semua panglima formasi serta pegawai memerintah agar melaksanakan pemeriksaan kendiri secara berkala bagi memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.
Menurutnya, langkah pencegahan perlu sentiasa diberi keutamaan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan operasi dan anggota.
“Pastikan SOP dipatuhi. Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan baharu kita mahu bertindak. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Keselamatan kapal dan nyawa anggota adalah tanggungjawab yang tidak boleh dikompromi,” tegas beliau.
Dalam masa sama, Zulhelmy turut mengingatkan warga TLDM agar melihat setiap cabaran dan rintangan sebagai peluang untuk memperkukuh keupayaan serta meningkatkan kecemerlangan pasukan.
“Banyak cabaran, banyak rintangan. Namun jangan hanya melihat semua ini sebagai cabaran semata-mata, sebaliknya anggaplah ia sebagai peluang – peluang untuk menyinar dan melakukan yang lebih baik lagi demi perkhidmatan dan negara,” katanya.-UTUSAN










