Malaysia-Turkiye terus perkukuh kerjasama industri pertahanan

Malaysia-Turkiye terus perkukuh kerjasama industri pertahanan

MOHAMED Khaled Nordin (dua dari kiri) mengiringi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang berkenan berangkat menyempurnakan Upacara Penamaan dan Pelancaran kapal misi persisir (LMS) katch kedua, Tentera Laut Diraja Malaysia di Istanbul Shipyard, Türkiye.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh kerjasama industri pertahanan dengan Turkiye menerusi lawatan rasmi oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara itu termasuk menyaksikan majlis penamaan dan pelancaran kapal tempur persisir (LMS) batch kedua milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mohamed Khaled berkata, lawatan kerjanya itu mencerminkan tahap kepercayaan dan kerjasama strategik yang semakin kukuh antara Malaysia dan Turkiye, khususnya dalam pembangunan teknologi serta industri pertahanan.

“Ini merupakan satu pencapaian penting dalam hubungan pertahanan Malaysia-Turkiye yang dibina atas asas kepercayaan dan kerjasama jangka panjang,” katanya pada majlis di Limbungan Kapal Istanbul, Turkiye.

Mohamed Khaled turut mengadakan pertemuan dengan pemain industri pertahanan Turkiye termasuk Otokar Otomotiv ve Savunma Sanayi A.S dan HAVELSAN sebagai sebahagian daripada lawatan kerjanya.

Pertemuan dengan dua nama besar dalam industri pertahanan Turkiye itu bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sistem pertahanan, pembangunan teknologi serta kolaborasi industri.

Dalam pertemuan itu juga, Mohamed Khaled turut diberi taklimat mengenai produk, teknologi dan inovasi HAVELSAN khususnya melibatkan Combat Management Systems (CMS), sistem simulasi, kecerdasan buatan dan alat sokongan keputusan bagi operasi ketenteraan moden.

Perbincangan itu turut menyentuh potensi kerjasama strategik pertahanan melibatkan Boustead Holdings Berhad bagi memperkukuh Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) serta memperdalam hubungan pertahanan Malaysia danTurkiye.

Kerjasama tersebut selari dengan usaha Malaysia yang mahu memperkukuh industri pertahanan tempatan, mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat asing serta membuka peluang kepada pemain tempatan menyertai rantaian bekalan global.

Mohamed Khaled juga menyifatkan pengalaman Turkiye dalam membangunkan industri pertahanan negara yang berdikari sebagai contoh terbaik untuk memenuhi kepentingan Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia melihat potensi besar untuk memperluas kerjasama pertahanan dengan Turkiye melangkaui program sedia ada khususnya dalam pertukaran kepakaran dan pemindahan teknologi.

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan merasmikan majlis penamaan dan pelancaran kapal pertama LMS batch kedua TLDM itu yang diiringi Mohamed Khaled.

Kapal pertama dalam siri itu dinamakan KD Tunku Abdul Jalil sebagai penghormatan kepada Allahyarham Tunku Abdul Jalil yang keberanian dan ketabahannya ketika melawan penyakit kanser terus dikenang rakyat negara ini.

Mohamed Khaled berkata, penamaan tersebut membawa nilai yang sangat dekat dengan etos TLDM dan menyifatkan majlis itu sebagai tradisi penting tentera laut yang menandakan peralihan rasmi sesebuah kapal dari darat ke air serta penamaan rasminya.

“Majlis ini menandakan satu tradisi penting tentera laut iaitu peralihan rasmi sesebuah kapal dari darat ke air buat pertama kali serta penamaan rasmi kapal tersebut,” katanya.

Dibina berasaskan reka bentuk MILGEM ADA-class milik Turkiye, program LMS batch kedua merupakan kerjasama pertama perolehan kapal perang secara kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dan Turkiye.

Menurut Mohamed Khaled, projek itu adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi 15-ke-5 TLDM yang bertujuan memodenkan struktur armada itu dan memperkukuh kesiapsiagaan operasi.

Katanya, beliau yakin program berkenaan berada di landasan tepat dengan ketiga-tiga kapal dijangka siap diserahkan menjelang penghujung 2027.

“Saya yakin dengan dedikasi yang ditunjukkan Pasukan Projek TLDM, STM dan Limbungan Kapal Istanbul, ketiga-tiga kapal ini akan berjaya diserahkan menjelang akhir 2027,” katanya.

Tambahnya, Malaysia dan Turkiye mempunyai ruang luas untuk memperkukuh kerjasama khususnya dalam pertukaran pengetahuan dan pemindahan teknologi yang mampu memperkasakan industri pertahanan tempatan.

“Kerjasama itu bukan sahaja mencerminkan kemajuan kedua-dua negara, malah turut menyumbang kepada keselamatan maritim dan keamanan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN