LUMUT: Malaysia menuntut ganti rugi melebihi RM1 bilion daripada syarikat pertahanan Norway susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu anti kapal (NSM) untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, notis tuntutan rasmi telah dihantar semalam melibatkan kos langsung dan tidak langsung selepas kerajaan telah memenuhi hampir keseluruhan obligasi kontrak berkenaan.
Katanya, tindakan Norway membatalkan eksport pada saat akhir walaupun Malaysia sudah membuat pembayaran sebanyak 95 peratus daripada nilai kontrak memaksa kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit.
“Selain LCS, kontrak dengan pihak Norway juga melibatkan Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Jebat.
“Bagi kedua-dua kontrak itu, kita telah membuat pembayaran sebanyak 95 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan sebanyak RM634 juta.
“Hari ini, kita telah pun menghantar notis tuntutan kepada syarikat Norway. Kita tuntut kos langsung iaitu jumlah yang telah dibayar sebanyak RM583 juta dan kos tidak langsung dengan keseluruhan tuntutan melebihi RM1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut, di sini, semalam.
Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr. Zulhelmy Ithnain dan Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir Azhar Jumaat.
Mohamed Khaled berkata, tindakan Norway membatalkan lesen eksport pada saat akhir walaupun Malaysia memenuhi semua obligasi kontrak menimbulkan persoalan terhadap kebolehpercayaan komitmen antarabangsa dalam urusan pertahanan.
Katanya, hubungan antarabangsa bergantung kepada keyakinan antara negara untuk menghormati setiap perjanjian, kontrak dan komitmen yang dipersetujui, khususnya dalam diplomasi pertahanan.
“Apa yang berlaku kepada kita, bukan sekadar isu perolehan pertahanan, sebaliknya mencerminkan hakisan kepercayaan dalam hubungan antarabangsa.
“Jadi, apabila komitmen ini boleh dibatalkan secara satu pihak saja, maka keyakinan terhadap keseluruhan sistem akan mula terhakis,” katanya.
Dalam pada itu, Khaled berkata, TLDM sedang berusaha mencari alternatif lain bagi menggantikan sistem NSM dari Norway untuk melengkapkan LCS.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan kapal berkenaan dapat dilengkapi dengan sistem persenjataan seperti yang telah dirancang sebelum ini.
“Itu biar TLDM (cari). Kita percaya pilihan terbaik adalah sistem yang selari dan boleh berintegrasi dengan sistem tempur serta melibatkan negara yang bersedia memindahkan teknologi kepada Malaysia,” katanya. – UTUSAN










