KUALA LUMPUR: Pembinaan Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch 2 kekal berjalan mengikut jadual dengan ketiga-tiga kapal dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjelang penghujung tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkembangan itu membuktikan kemajuan projek berkenaan berada pada landasan yang ditetapkan sejak kontraknya dimeterai pada 2024.
“Kita sangat bersyukur kerana sejak ditandatangani pada 2024, kemajuan pembinaan kapal-kapal itu mengikut jadual.
“Pada hari Ahad yang lalu, kapal kedua LMS kita juga telah dilancarkan dan diberikan nama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2026 di Wisma Perwira ATM, hari ini.
Menurut Mohamed Khaled, kapal pertama LMS Batch 2 dijangka diserahkan kepada TLDM pada Oktober 2027 diikuti kapal kedua pada November dan kapal ketiga pada Disember tahun yang sama. – UTUSAN










