KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti proses tindakan dan jumlah tuntutan terhadap syarikat pertahanan Norway susulan pembatalan kontrak perolehan membekalkan sistem peluru berpandu untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah tersebut penting bagi menuntut segala bayaran yang sudah dilunaskan selain menilai segala kerosakan yang berlaku kesan daripada pelanggaran kontrak oleh syarikat Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA).
“Walaupun kapal berkenaan dapat disiapkan, ia masih tidak dilengkapi sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) yang sudah ditempah sejak tahun 2018.
“Jad,i kita perlu mencari sistem peluru berpandu lain sebagai pengganti. Kalau menggunakan sistem baharu, ia memerlukan latihan semula dan proses integrasi dengan sistem lain dalam kapal. Semua itu akan diambil kira sebagai kerugian akibat pelanggaran kontrak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Program PROWIRA – RTW (Ready to Work) Graduan dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) 2026, di sini hari ini.
Menjelaskan lanjut, Mohamed Khaled berkata, keseluruhan kontrak membabitkan kos melebihi RM600 juta dan kerajaan sudah membuat pembayaran kira-kira 95 peratus daripada nilai kontrak berkenaan secara bayaran kemajuan projek.
“Proses mendapatkan sistem gantian juga bukan sesuatu yang mudah kerana aset pertahanan perlu dibina mengikut spesifikasi tertentu dan setiap sistem perlu berhubung antara satu sama lain.
“Dalam sebuah kapal ada pelbagai sistem komunikasi, elektrik di mana ia datang daripada syarikat yang berbeza. Sistem peluru berpandu itu mesti boleh berhubung dan berintegrasi dengan semua sistem sedia ada.
“Jadi pembangunan sistem baharu itu akan mengambil masa, namun kita sedang mencari jalan untuk mempercepatkan proses berkenaan,” katanya. – UTUSAN










