Aktiviti libatkan haiwan dalam kurungan perlu ada lesen  - Utusan Malaysia

Aktiviti libatkan haiwan dalam kurungan perlu ada lesen 

NOORLIZAN Mohd. Noor dalam sidang akhbar webinar pelaksanaan penguatkuasaan aktiviti melibatkan haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di Wisma Tani, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebarang urusan melibatkan jual beli haiwan hidup dalam kurungan kini perlu mendapatkan lesen bermula 1 Januari  lalu bertujuan memastikan kebajikan haiwan di premis-premis terlibat.

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Noor berkata, turut dikenakan lesen ialah aktiviti melibatkan penginapan haiwan, menunggang dan mengepung dan pusat perlindungan haiwan dalam kurungan sebagaimana termaktub dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Menurut beliau, keputusan ini dibuat selari dengan kehendak Seksyen 15 Akta berkenaan, Peraturan-Peraturan Kebajikan Haiwan (Fi Pelesenan) 2021 dan melalui keputusan dasar yang diluluskan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Tujuan utama pelesenan ini dibuat bagi mendidik pihak-pihak terlibat tentang kewujudan peraturan yang mewajibkan mereka untuk mendapatkan lesen selain memastikan haiwan-haiwan di premis mereka terpelihara kebajikannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Webinar Pelesenan Di Bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 di sini hari ini.

Norlizan berkata, secara keseluruhan terdapat 13 kod amalan kebajikan haiwan mengikut aktiviti tersendiri yang perlu dilesenkan melibatkan haiwan kesayangan dan ternakan serta tiga berkaitan dengan ikan.

Beliau menjelaskan, antaranya adalah haiwan persembahan, pembiakan dan penyelidikan, ujian dan pengajaran, penyelamatan dan pemulihan, aktiviti mengurung dan perlindungan, kuarantin, latihan, penyembelihan, pelupusan dan kawalan haiwan terbiar oleh individu, organisasi dan badan korporat.

“Bagaimanapun, penguatkuasaan pelesenan bagi aktiviti-aktiviti ini dibuat secara berperingkat dan terlebih dahulu bermula dengan empat aktiviti utama yang dinyatakan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan lesen bagi aktiviti melibatkan haiwan itu perlu dibuat secara dalam talian menerusi laman web https://awa.dsv.gov.my dengan kadar fi sebanyak RM100 setahun bagi setiap aktiviti yang dijalankan dan RM50 untuk pembaharuan lesen setiap tiga tahun.

Katanya, tempoh lanjutan sehingga enam bulan diberikan kepada individu yang menjalankan  aktiviti-aktiviti seperti dinyatakan untuk memohon mendapatkan lesen bagi premis mereka. 

“Jika disabitkan kesalahan melibatkan sebarang pelanggaran akta dan peraturan-peraturan ini boleh dikenakan penalti antara RM15,000 hingga 75,000 atau penjara sehingga tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Semua pihak berkepentingan diseru memberikan kerjasama bagi mencapai objektif pelesenan tersebut dan seterusnya memastikan kebajikan haiwan menerusi aktiviti-aktiviti melibatkan haiwan terus terjamin,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya