Russia turun kadar faedah kerana amaran Putin - Utusan Malaysia

Russia turun kadar faedah kerana amaran Putin

PUTIN memberi amaran keadaan ekonomi Russia yang perlahan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia pada Jumaat menurunkan kadar faedah penanda arasnya, beberapa hari selepas Presiden Vladimir Putin memberi amaran mengenai ekonomi yang semakin perlahan dan mengarahkan pegawainya untuk meningkatkan pertumbuhan.

Ekonomi Russia menyusut dalam dua bulan pertama tahun ini, menurut statistik rasmi, ketika kos perang selama empat tahun di Ukraine dan sekatan Barat semakin meningkat.

Bank Pusat berkata, ia menurunkan kos pinjaman kepada 14.5 peratus daripada 15 peratus, namun memberi amaran bahawa risiko inflasi tinggi masih wujud pada masa depan.

Dalam kenyataan mengumumkan penurunan kadar itu, Bank Pusat Russia menyatakan terdapat kelemahan keseluruhan dalam pertumbuhan dan memberi amaran mengenai ketidakpastian ketara dalam persekitaran luar serta pelan perbelanjaan kerajaan.

Tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Russia hanya berkembang satu peratus dan pegawai sebelum ini meramalkan pertumbuhan perlahan sekali lagi pada 2026.

Minggu lalu, Putin memberitahu mesyuarat kerajaan mengenai hal ehwal ekonomi bahawa trajektori pertumbuhan kini di bawah jangkaan dengan ekonomi menguncup 1.8 peratus pada Januari-Februari berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, angka itu bukan sahaja di bawah jangkaan pakar dan penganalisis, malah juga di bawah unjuran kerajaan dan Bank Pusat.

Perang di Asia Barat  yang mendorong kenaikan harga minyak mentah telah memberi sedikit kelegaan kewangan kepada Moscow, dengan Agensi Tenaga Antarabangsa menyatakan Russia hampir menggandakan pendapatan eksport minyaknya pada Mac.

Namun, masalah struktur seperti kekurangan tenaga kerja, ketidaktentuan mata wang, inflasi yang degil dan persekitaran pelaburan lemah terus mengekang pertumbuhan.

Golongan perniagaan mengkritik kadar faedah tinggi yang dinaikkan untuk mengekang inflasi sebagai penghalang kepada ekonomi.

Kerajaan pula telah berbelanja besar untuk operasi ketenteraan di Ukraine, perbelanjaan yang pada awalnya merangsang pertumbuhan tetapi kini memberi kesan negatif kepada sektor tidak berkaitan dengan ketenteraan.

Defisit belanjawan Moscow dalam tiga bulan pertama 2026 mencecah kira-kira AS$60 bilion (RM237 bilion) atau 1.9 peratus daripada KDNK, lebih tinggi daripada sasaran bagi keseluruhan tahun.

Bank Pusat pada Jumaat turut memberi amaran bahawa jika perbelanjaan kerajaan tidak kembali ke tahap yang dirancang, kadar faedah mungkin perlu kekal tinggi untuk tempoh lebih lama. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN