PETALING JAYA: ZK Racing telah diberi kepercayaan oleh Litar Antarabangsa Guangzhou Conghua (GCIC) untuk bertindak selaku penganjur dan promoter bagi Kejohanan FIM MotoMini China.
Pengarah ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, GCIC melihat sendiri bagaimana program pembangunan pelumba akar umbi yang pihaknya laksanakan menerusi MotoMini Malaysia sehingga mampu berfungsi sebagai satu platform yang kompetitif dan tersusun.
“Malah sebelum ini, kami telah menerima penyertaan pelumba dari China untuk berlumba di MotoMini Malaysia dan itu memberi peluang kepada mereka menilai sendiri standard penganjuran serta pembangunan yang kita bentuk di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kerjasama antara ZK Racing dan GCIC itu telah dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik yang berlangsung di Guangzhou, China, baru-baru ini.
Menurut Zulfahmi, Mac lalu, pihak GCIC telah mengadakan lawatan ke pejabat urusan ZK Racing untuk melihat dengan lebih dekat struktur operasi, pengurusan serta model pembangunan yang jalankan oleh pasukannya.
“Daripada situ, lahir keyakinan mereka untuk menjalinkan kerjasama ini.
“Kami gembira apabila sebuah organisasi luar melihat dan mengiktiraf apa yang dibina di Malaysia, khususnya dalam pembangunan pelumba muda.
“Ini bukan sahaja satu penghormatan kepada ZK Racing, tetapi juga menunjukkan ekosistem pembangunan akar umbi negara kita mula mendapat perhatian di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
ZK Racing selaku penganjur FIM MiniGP Malaysia yang diperkenalkan pada 2020, bakal memainkan peranan menaik taraf penganjuran FIM MotoMini China, khususnya dari aspek operasi teknikal serta pengurusan acara.
Ia sejajar dengan standard penganjuran MotoMini Malaysia yang telah membentuk asas kukuh dalam pelaksanaan serta pembangunan kejohanan.
Diperkenalkan pada 2024, MotoMini China menunjukkan perkembangan agresif dalam membentuk platform perlumbaan akar umbi, dengan menjadikan MotoMini Malaysia sebagai penanda aras dan rujukan bagi pembangunan program di negara itu.
Apa yang lebih menarik, pada Ogos ini, satu acara besar melibatkan lebih 100 pelumba dari seluruh Asia iaitu Piala Guangzhou OHVALE akan dianjurkan, dengan pihak penganjur turut melibatkan ZK Racing sebagai perunding dalam aspek pengurusan dan teknikal bagi memastikan penganjuran bertaraf antarabangsa.
Kerjasama itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh pembangunan sukan permotoran peringkat akar umbi di Asia, selain membuka ruang pertukaran kepakaran serta peningkatan standard penganjuran ke tahap lebih tinggi. – UTUSAN










