Abang Viva setuju terima kenderaan 4x4 dari Sha Hassan

Abang Viva setuju terima kenderaan 4×4

AZWAN Omar menunjukkan surat penghargaan yang diterimanya daripada APM Melaka dan Pesuruhjaya Pertahanan Awam Malaysia atas usahanya membantu mangsa banjir. – FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: ‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya Azwan Omar, 29, mengesahkan, beliau telah bersetuju untuk menerima ha­diah sebuah kereta pacuan empat roda (4×4), sumbangan Pe­ngasas Shalicious Empire Sdn. Bhd., Sha Hassan tidak lama lagi.

Menurut wira banjir itu, dia telah menemui Sha minggu lalu bagi berbincang mengenai hasrat usahawan itu untuk memberikannya kenderaan tersebut secara percuma.

Beliau berkata, usahawan wanita berkenaan memberikan secara ikhlas dengan tujuan ingin­ memudahkan dirinya menjalankan segala urusan membantu lebih ramai orang yang memerlukan pertolongan.

SHA HASSAN

“Setelah berbincang, saya tidak sangsi dengan keikhlasan­nya memberikan kenderaan 4×4. Saya terima kerana beliau tidak menetapkan sebarang syarat, jika saya menerima pemberiannya apatah lagi mempromosikan produknya.

“Akhirnya saya bersetuju untuk menerima kenderaan yang dijanjikan. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, saya akan menerima kenderaan itu tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Pengkalan Indah dekat sini.

Azwan yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, Sha menjanjikan kenderaan yang belum dipastikan jenamanya akan dibeli secara tunai sebelum diserahkan kepadanya agar dirinya tidak dibebankan dengan hutang.

Beliau berkata, penyerahan kenderaan itu nanti akan dibuat secara siaran langsung melalui laman sosial Facebook miliknya atau usahawan berkenaan.

Menurutnya, tujuan majlis itu dibuat bagi mengelak daripada timbulnya pelbagai spekulasi liar.

“Biar orang ramai lihat sendiri keikhlasan pengasas kosmetik memberikan kenderaan kepada saya, bukannya minta balasan,” ujarnya.

Berkenaan Perodua yang turut menghubunginya, Azwan berkata, syarikat itu menawarkan pemeriksaan percuma dan penukaran alat ganti kereta Perodua Viva yang digunakan sewaktu membantu mangsa banjir di Puchong dan Shah Alam, Selangor serta Temerloh, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN