9.6 juta penerima BKM bernilai RM8.2 bilion tahun ini - Utusan Malaysia

9.6 juta penerima BKM bernilai RM8.2 bilion tahun ini

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) pada tahun ini memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun lalu. 

Untuk itu, beliau memaklumkan, tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini BKM dibuka mulai hari ini sehingga hujung bulan ini selama sebulan bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing. 

“Penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat juga berpeluang membuat kemas kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, bagi mengurangkan golongan tercicir, data penerima BPR dan penerima Bantuan Khas Covid (BKC) B40 tahun 2021 dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat ditetapkan.

Beliau menjelaskan, pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin dan data agensi kerajaan yang lain turut diguna pakai.

Katanya, ia merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni  perumahan awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, orang asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan DBKL.

Tambah beliau, selain itu ialah data ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan Perkeso dan penerima zakat atau baitulmal di Lembah Klang. 

“Pemohon BKM boleh merujuk soalan lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BKM  https://bkm.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. 

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan bantuan yang disediakan menjamin  kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya