fbpx

48 lokasi kerap kemalangan di Perak

MIOR Faridalathrash Wahid menyampaikan cenderahati dan risalah kepada pengguna lebuh raya pada Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baru Cina 2022 di Plaza Tol Ipoh Selatan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mengenal pasti 48 lokasi yang kerap berlaku kemalangan di negeri ini dan akan diberi lebih tumpuan pada Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022, bermula hari ini hingga 6 Februari depan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, antara lokasi panas tersebut ialah di Gerik, Manjung, Ipoh, Hilir Perak, Sungai Siput, Taiping, Muallim dan Kuala Kangsar.

“Bagi penugasan sepanjang Op Selamat 17 ini, kita akan memfokuskan kepada penguatkuasaan berhemah dan tegas terhadap enam kesalahan lalu lintas utama, melancarkan pergerakan lalu lintas, service delivery kepada pengguna jalan raya serta pencegahan jenayah.

“Enam kesalahan yang akan diberi tumpuan dan dikatakan sebagai punca kemalangan ialah pandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan dan  memotong garisan berkembar

“Kesalahan lain adalah memotong giliran, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perak, Noorhanita Mohamad dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan.

Menurut Mior Farid, berdasarkan statistik yang direkodkan menerusi Op Selamat sebelum ini, kemalangan yang direkodkan di Perak menurun pada tahun lalu iaitu sebanyak 1,114 kes berbanding tahun sebelumnya dengan 1,946 kes.

Bagaimanapun katanya, bagi kemalangan ringan mencatatkan peningkatan sebanyak 51 kes iaitu 26 kes pada tahun 2020 berbanding 77 kes tahun lalu.

“Kawasan panas ini boleh dikatakan setiap daerah ada dan kita memang telah mengenal pasti beberapa daerah yang dilihat merekodkan kadar kemalangan yang tinggi. Jadi, daerah-daerah ini akan diberi fokus utama,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, seramai 32 pegawai kanan dan 173 anggota polis Kontinjen Perak akan terlibat bagi penugasan sepanjang operasi sepanjang 10 hari itu.

“Selain pemantauan di lokasi kerap berlaku kemalangan, kita turut melakukan rondaan di rumah-rumah dan premis-premis yang ditinggalkan sepanjang musim perayaan ini.

“Elemen rondaan seperti pasukan kereta peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Rondaan Cegah Jenayah akan digunakan dalam operasi ini,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak mementingkan diri dengan menggunakan lorong kecemasan semata-mata untuk mendapatkan laluan pantas.

“Kita harap orang ramai tidak pentingkan diri, jangan kerana mahu pulang cepat mereka gunakan lorong kecemasan. Mereka perlu bertimbang rasa dengan semua pengguna jalan raya bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI