KUANTAN: Jumlah kehadiran pelancong ke Cameron Highlands direkodkan seramai 2.1 juta tahun lalu, dengan peningkatan sebanyak 52.45 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, selain daerah itu, Maran turut mencuri perhatian apabila mencatat peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 147 peratus dengan kehadiran 15,220 pelancong.
“Untuk makluman, bagi tahun 2025 Cameron Highlands mencatatkan 2.1 juta pelancong iaitu peningkatan 52.45 peratus. Maran 15,220 pelancong dengan peningkatan sebanyak 147 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Ho Chi Yang (DAP-Tanah Rata) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Yu Man berkata, peningkatan ketara di Maran dipercayai didorong oleh tarikan pelancongan berasaskan alam semula jadi, khususnya kawasan air terjun yang semakin mendapat perhatian pengunjung.
Katanya, tahun lalu turut menyaksikan pelbagai projek penambahbaikan dan naik taraf dilaksanakan di beberapa lokasi rekreasi air terjun di daerah itu termasuk Air Terjun Teladas, Che Minah Sayang dan Lubuk Yu bagi meningkatkan keselesaan serta pengalaman pelancong.
“Maran sememangnya mempunyai kelebihan dari segi tarikan air terjun. Kita juga menggalakkan penganjuran acara bagi menambah ketibaan pelancong ke Maran,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Sofian Abdul Jalil. (Pas-Luit).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan secara keseluruhan Pahang menerima 3.25 juta pelancong bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, meningkat 1.63 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Bagi suku pertama tahun ini iaitu Januari hingga Mac, Pahang mencatatkan 3.25 juta pelancong berbanding tempoh sama tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak 1.63 peratus,” katanya.
Beliau berkata, bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, kerajaan negeri akan memperkukuh promosi pelancongan domestik, memperluas penganjuran acara berimpak tinggi serta membangunkan produk pelancongan baharu termasuk Pahang Edu-Trail Trio. – UTUSAN










