PETALING JAYA: Kini bergelar penerbit, pelakon, Aedy Ashraf menganggap kejayaannya menerbitkan filem sulung, Tarung: Unforgiven adalah hadiah paling bermakna buat ibunya, Liza Zain sempena Hari Ibu, baru-baru ini.
Menurut Aedy, kejayaan filem terbitannya itu secara tidak langsung menjadi pengganti impiannya untuk menghadiahkan ibunya pencapaian akademik yang cemerlang sebelum ini.
“Ibu, terima kasih, ini untuk ibu. Saya mungkin tidak dapat berikan segulung ijazah tetapi saya rasa ini seperti hari graduasi.
“Filem pertama yang saya terbitkan dengan penuh cinta, didikan dan pengorbanan yang ibu berikan sepanjang saya membesar. Saya harap sudah dapat membanggakan ibu, selamat hari ibu,” katanya menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Tersentuh dengan perkongsian tersebut, Liza menyifatkan segala hasil kerja keras Aedy yang dipamerkan hari ini sudah cukup membuat dirinya bangga walaupun tidak memiliki segulung ijazah.
“Adik (panggilan buat Aedy), anakku. Awak tidak perlukan segulung ijazah untuk buat ibu bangga. Melihat awak membesar menjadi lelaki yang rajin, bersemangat dan sepenuh hati begini pun sudah lebih daripada cukup buat ibu rasa bahagia.
“Awak selalu buat ibu rasa bangga. Terima kasih sebab hargai semua kasih sayang dan pengorbanan ibu. Menonton filem pertama awak juga adalah hadiah terhebat buat ibu. Tahniah adik.
“Ya Allah, luaskan dan limpahkan rezeki anakku serta sentiasalah dalam lindungan-Mu. Saya sangat menyayangi awak anakku,” jelasnya.
Sebelum, Aedy pernah mendedahkan terpaksa berhenti sekolah ketika berusia 16 tahun demi menyara keluarganya dan perkara tersebut merupakan keputusan paling sukar pernah dibuat dalam hidup.
Aedy juga mengakui pernah melalui tempoh hitam dan menjalani gaya hidup liar akibat terlalu mengikut darah muda sebelum berjaya membina karier seperti hari ini.










