Paras hujan cecah 96.5 milimeter sejam, risiko banjir kilat meningkat

Paras hujan cecah 96.5 milimeter sejam, risiko banjir kilat meningkat

FADLUN MAK UJUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenaikan paras air hujan secara mendadak mencapai bacaan 96.5 milimeter (mm) dalam tempoh sejam dikenal pasti menjadi punca utama beberapa kejadian banjir kilat yang melanda ibu negara baru-baru ini.

Datuk Bandar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, bacaan hujan semasa direkodkan di stesen hujan Universiti Malaya (UM) dan jauh melebihi paras amaran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu sekitar 60 mm bagi tempoh dua hingga empat jam.

Katanya, hujan berintensiti tinggi dalam tempoh singkat itu menyebabkan paras sungai meningkat mendadak sehingga sistem saliran sedia ada tidak dapat menampung aliran air.

“Sebagai contoh, kejadian air bertakung di Segambut Dalam berlaku apabila paras Sungai Toba merekodkan bacaan 43.14 meter, melebihi paras bahaya iaitu 42.80 meter.

“Pada hari biasa paras sungai sekitar 27 meter, namun ketika hujan ia meningkat secara mendadak sehingga menyebabkan limpahan air,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Menurut beliau, kejadian banjir di kawasan Kuchai Lama dan sekitar LRT Bukit Jalil turut berpunca daripada peningkatan mendadak paras air sungai dan kawasan tadahan sehingga menyebabkan sistem longkang dan perparitan gagal menampung aliran air.

“Apabila paras sungai naik melebihi paras bahaya, semua aliran perparitan yang masuk ke sungai tidak dapat mengalir keluar dan berlaku fenomena ‘bounce back’ yang menyebabkan banjir kilat.

“Namun selepas hujan berhenti, dalam tempoh kira-kira 20 minit air mula surut semula,” ujarnya.

Susulan kejadian itu, DBKL memperkukuh usaha mitigasi banjir menerusi pendekatan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengurangi risiko banjir kilat di seluruh ibu negara.

Antara langkah segera yang diambil termasuk penubuhan dua pasukan “flying squad” untuk bertindak di 14 hotspot banjir dikenal pasti sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, pasukan tersebut akan digerakkan sekiranya bacaan hujan melebihi 22 mm sejam bagi membersihkan saliran yang tersumbat akibat longgokan daun dan sampah.

“Kadangkala ketika hujan lebat, daun-daun kering akan menutup inlet saliran menyebabkan air tidak dapat mengalir masuk ke sistem utama.

“Pasukan ini akan bergerak segera untuk membersihkan semua halangan bagi memastikan air larian dapat terus mengalir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN