DBKL tidak luluskan pembangunan di 17 lot kawasan kolam takungan banjir

DBKL tidak luluskan pembangunan di 17 lot kawasan kolam takungan banjir

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur, Hannah Yeoh tunjuk 17 lot tanah kolam takungan bajir Jinjang dan Batu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan meluluskan sebarang permohonan Kebenaran Merancang (KM) melibatkan 17 lot di kawasan kolam takungan banjir di ibu negara sehingga semua memenuhi syarat teknikal yang ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Langkah tegas itu dibuat selepas DBKL mengenal pasti kapasiti kolam takungan banjir di Kuala Lumpur menurun kepada 30 peratus daripada keluasan asal susulan pemberian hak milik tanah kepada pihak pemaju sejak 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keadaan itu melibatkan 17 lot tanah kolam takungan banjir di kawasan Jinjang dan Batu yang sebahagian besarnya telah diserahkan kepada pemaju untuk tujuan pembangunan.

Katanya, 70 peratus keluasan kawasan kolam air berkenaan telah diberi milikan sehingga menyebabkan fungsi asal kolam takungan semakin terjejas.

“Daripada keluasan asal 114.5 hektar, kini hanya tinggal 34.35 hektar badan air selepas pemberian milikan dibuat.

“Berdasarkan penilaian teknikal JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan fungsi asal kolam takungan banjir, malah menyukarkan kerja penyelenggaraan kerana jentera tidak dapat memasuki kawasan tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di Menara DBKL, di sini, hari ini.

Menurut beliau, DBKL memandang serius perkara tersebut memandangkan kolam takungan banjir memainkan peranan penting menampung jumlah air hujan yang tinggi bagi mengurangkan risiko banjir kilat di ibu negara.

Katanya, jika pembangunan terus dibenarkan tanpa kawalan ketat, ia bukan sahaja memberi kesan kepada pembeli hartanah malah boleh menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir Kuala Lumpur.

“Ketika ini terdapat pembangunan sedia ada di kawasan berkenaan dan JPS sendiri mengakui mereka menghadapi kesukaran untuk melakukan kerja penyelenggaraan.

“Malah, terdapat laporan banjir kilat di kawasan pembangunan tersebut dan ini menjadi bukti bahawa kapasiti kolam takungan ini sudah semakin berkurangan,” katanya.

Susulan itu, Jabatan Wilayah Persekutuan turut menubuhkan satu pasukan petugas khas diketuai Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain bagi menyelaras tindakan mitigasi banjir bersama semua agensi berkaitan.

“Kerajaan tidak menolak pembangunan sepenuhnya, tetapi mana-mana pihak yang mahu membangunkan kawasan tersebut perlu membuktikan bahawa mereka mampu memenuhi semua syarat teknikal ditetapkan oleh JPS.

“Antara perkara utama yang perlu dipastikan ialah kapasiti kolam kekal mencukupi serta akses penyelenggaraan tidak terhalang,” katanya.

Tambah beliau, sehingga penyelesaian menyeluruh dicapai, DBKL tidak akan memberikan kelulusan KM kepada pemilik 17 lot tanah berkenaan untuk sebarang pembangunan baharu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN