KUALA LUMPUR: Sebanyak RM500 juta dibelanjakan bagi pemasangan dan pengoperasian 10,000 kamera litar tertutup (CCTV) bersepadu di sekitar ibu negara sejak 2020.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pemasangan itu penting terutamanya dalam aspek keselamatan di ibu negara.
Menurutnya, kesemua kamera CCTV dipasang dan diintegrasikan di lokasi strategik termasuk jalan utama, persimpangan, kawasan awam dan pusat komersial.
“Sistem itu bukan sekadar merakam, sebaliknya mampu mengesan, menganalisis dan mencetuskan tindakan secara masa nyata bagi membolehkan respons antara agensi dibuat dengan lebih pantas dan terselaras.
“Mesej yang mahu kita sampaikan ialah kini wujud penyelarasan lebih erat antara DBKL dan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui perkongsian maklumat bagi menyelesaikan jenayah serta memastikan Kuala Lumpur selamat untuk kanak-kanak, wanita dan sesiapa sahaja yang bergerak di sekitar ibu negara,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pelaksanaan sistem CCTV bersepadu antara DBKL dan PDRM di ibu negara di sini, hari ini.
Hannah berkata, penggunaan sistem pintar itu juga membolehkan pihak berkuasa menambah baik kaedah pemantauan berdasarkan maklum balas polis dan keperluan semasa di lapangan.
Katanya, antara contoh keberkesanan sistem itu ialah penggunaan siar raya bersepadu di kawasan tumpuan pelancong bagi memberi amaran berkala berhubung kegiatan ulat foto.
“Amaran dalam lima bahasa itu boleh disiarkan setiap 10 minit tanpa perlu menempatkan petugas secara fizikal di lokasi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, sistem tersebut turut dilengkapi teknologi geo-fencing, pengecaman wajah, analitik tingkah laku dan siar raya bersepadu.
Katanya, sebelum ini maklumat pemantauan sering terpisah antara agensi sehingga menyebabkan tindakan susulan tidak dapat dilakukan secepat yang diperlukan.
“Melalui sistem bersepadu ini, jurang tersebut dapat ditutup sekali gus menjadikan koordinasi lebih cekap dan respons lebih tepat.
“Hasilnya, pelbagai insiden seperti kemalangan, kecemasan, kesesakan luar jangka dan risiko banjir kini boleh dikesan lebih awal sebelum keadaan menjadi lebih serius,” katanya. – UTUSAN









