PUTRAJAYA: Kadar inflasi negara dijangka kekal terkawal dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus tahun ini meskipun berdepan tekanan akibat ketidaktentuan geopolitik global semasa.
Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan akan terus melaksanakan langkah mitigasi bagi memastikan kenaikan harga tidak memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kadar inflasi April lalu berada pada paras 1.9 peratus dan masih dalam lingkungan yang boleh diurus berbanding jangkaan inflasi global sekitar 4.3 peratus.
“Komitmen kita adalah untuk mengekalkan inflasi pada paras yang boleh kita hadapi walaupun tekanan yang berlaku berpunca daripada faktor global seperti bekalan minyak dan peningkatan kos input.
“Unjuran kita bagi tahun ini adalah inflasi berada dalam lingkungan 1.5 hingga 2.5 peratus supaya pergerakannya tidak memberi kesan renjatan kepada keadaan ekonomi dan kehidupan rakyat,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai langkah intervensi bagi mengurangkan tekanan kos termasuk penyaluran subsidi bahan api secara bersasar dan kawalan kos logistik menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Selain itu, katanya, kerajaan turut menyediakan kemudahan pembiayaan tambahan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan Bank Negara Malaysia bagi membantu memastikan kelangsungan operasi perusahaan kecil dan sederhana.
“Semua intervensi ini dilakukan untuk memastikan aktiviti ekonomi terus berjalan dan pada masa sama mengelakkan kenaikan kos daripada merebak secara meluas kepada pengguna.
“Namun, sekiranya ketidaktentuan global berlarutan, tekanan terhadap inflasi akan menjadi lebih kuat dan sebab itu kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah mitigasi yang bersesuaian,” katanya. – UTUSAN










