PETALING JAYA: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) akan membuat ketetapan berhubung hala tuju politiknya selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung MIPP, N. Sathes Kumar berkata, ia diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pusat semalam bagi membincangkan perkembangan semasa politik negara, persiapan pilihan raya serta hala tuju parti di peringkat nasional.
Katanya, MIPP telah membincangkan secara mendalam senario politik semasa negara, termasuk pelbagai bentuk penglibatan dan perbincangan yang diadakan dengan beberapa parti sejak kebelakangan ini.
“Perbincangan tersebut berlaku dalam suasana ketidaktentuan politik yang memerlukan semua pihak menilai pelbagai pilihan demi menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.
“Mengambil kira perkembangan politik semasa dan pelbagai dinamika yang sedang berlaku, Jawatankuasa Pusat MIPP telah membuat ketetapan bahawa sebarang keputusan berkaitan hala tuju politik parti akan ditentukan selepas mesyuarat MT PN yang dijangka diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Jawatankuasa Pusat telah memberikan mandat penuh kepada Presiden, P. Punithan untuk meneruskan sebarang bentuk perbincangan dan libat urus serta hala tuju politik yang difikirkan sesuai demi kepentingan parti serta masyarakat India.
Katanya, mesyuarat turut membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
“MIPP telah mengenal pasti empat kerusi di Johor dan tiga di Negeri Sembilan untuk ditandingi dan kesemua calon yang bakal diketengahkan merupakan pemimpin muda masyarakat India yang berwibawa serta berpotensi membawa suara generasi baharu.
“Jentera pilihan raya MIPP di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka juga telah digerakkan sepenuhnya dan kini giat menjalankan pelbagai program mendekati rakyat di peringkat akar umbi,” katanya. – UTUSAN










