PUTRAJAYA: Ekonomi negara serta bekalan minyak global dijangka mengambil masa untuk kembali stabil meskipun Amerika Syarikat (AS) dan Iran berjaya mencapai perjanjian damai susulan gangguan laluan perdagangan di Selat Hormuz serta kerosakan infrastruktur akibat peperangan.
Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kerajaan menyambut baik sebarang usaha ke arah perdamaian kerana konflik yang berpanjangan memberi kesan langsung kepada pasaran minyak dan rantaian bekalan antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sebarang perkembangan positif tidak seharusnya menyebabkan negara mengambil sikap terlalu selesa kerana keadaan masih boleh berubah disebabkan faktor-faktor di luar jangkaan.
“Sudah pasti krisis yang berlaku di peringkat global melibatkan geopolitik ini memberi kesan yang ketara kepada negara, khususnya dalam soal bekalan minyak.
“Kita sememangnya menantikan perkembangan yang boleh membuka ruang kepada perjanjian damai, namun ia tidak membolehkan kita kembali kepada keadaan selesa kerana keadaan masih boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor luar jangka,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.
Katanya, pemulihan laluan perdagangan utama di Selat Hormuz serta pembaikan infrastruktur yang terjejas akibat konflik perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum pasaran tenaga global kembali beroperasi seperti biasa.
“Jadi, keadaan itu juga memerlukan masa untuk dipulihkan sepenuhnya sebelum kesan positifnya dapat dirasai oleh ekonomi global,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa bagi menilai kesan konflik berkenaan terhadap ekonomi negara.
Katanya, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) akan diteruskan sehingga terdapat gambaran yang lebih jelas mengenai penyelesaian krisis tersebut.
“Kita akan mengekalkan komitmen untuk terus melihat peranan yang boleh diambil termasuk melalui mesyuarat MTEN yang kita akan terus langsungkan sehinggalah keadaan itu benar-benar memberi gambaran yang lebih jelas dalam soal tamatnya krisis ini,” katanya.
Ahad lalu, Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah bersetuju dengan satu perjanjian damai dan penamatan operasi ketenteraan secara serta-merta dan kekal di semua medan, termasuk Lubnan, menandakan berakhirnya lebih tiga bulan peperangan di Asia Barat.
Pengumuman awal daripada pengantara Pakistan segera disahkan oleh Washington dan Teheran, manakala majlis pemeteraian rasmi dijadualkan berlangsung pada 19 Jun di Switzerland. – UTUSAN










