300 dijangka berhimpun desak tangkap Azam Baki

300 dijangka berhimpun desak tangkap Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 30 kumpulan masyarakat dan 11 parti politik menyokong perhimpunan menuntut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap di hadapan sebuah pusat beli-belah di ibu negara, hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berkata, kira-kira 300 orang dijangka menyertai perhimpunan berkenaan bagi mendesak proses undang-undang ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bermula segera.

Katanya, pihaknya yakin dapat memastikan prosedur operasi standard (SOP) terjaga dan tidak melanggar apa-apa SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan negara (MKN) sepanjang perhimpunan tersebut diadakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita hanya berhimpun dan ada ucapan daripada wakil-wakil dari NGO dan parti politik yang menyokong serta bersurai.

“Jadi apa saya harapkan adalah kita boleh turun berkumpul secara aman dan pihak-pihak berkuasa boleh beri kerjasama kerana kita tiada niat lain, tetapi turun dengan SOP ketat dan de­ngan aman.

“Jika kita boleh bekerjasama dan benarkan, maka ia hanya perlukan 30 ke 45 minit untuk bergerak dan selesaikan himpunan itu. Dalam masa sama kita harapkan mereka yang turun dapat menjaga disiplin semasa himpunan berlangsung esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi semalam.

Himpunan Tangkap Azam Baki adalah platform untuk mendesak Azam ditahan serta-merta oleh pihak berkuasa, selain mendesak proses undang-undang ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen susulan dakwaan salah guna kuasa membabitkan pemilikan saham.

Satu perintah mahka­mah diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam bagi menghalang mana-mana pihak mengadakan perhimpunan di tiga lokasi di ibu negara bermula esok (hari ini).

Ketua Polis Daerah Dang Wa­ngi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tiga lokasi dilarang berhimpun iaitu Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek.

Kata beliau, lara­ngan itu berkuat kuasa tujuh hari mulai esok sehingga Jumaat ini.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang yang sedang berkuat kuasa demi menjaga ketenteraman awam.

“Tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan terhadap mereka yang didapati me­langgar perintah berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Berhubung perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijangka diadakan esok, kata Noor Delhan, pihaknya tidak menerima sebarang notis perhimpunan berkenaan daripada mana-mana individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×