JOHOR BAHRU: Pembukaan sempadan menerusi skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksinasi (VTL) Darat Malaysia-Singapura tidak akan terjejas buat masa ini meskipun terdapat ancaman varian baharu, Omicron.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menolak kemungkinan skim itu dihentikan sebaliknya hanya akan memperketat prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kemasukan pengembara sekiranya ancaman di tahap serius.
Katanya, perkara itu diputuskan ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan selepas menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tengah hari tadi.
Tambahnya, belum ada kepastian oleh pihak Singapura seperti yang digambarkan oleh Dr. Vivian bahawa varian tersebut akan mengganggu kelancaran VTL Darat.
“Kita memerlukan masa dua minggu hingga sebulan untuk melihat kesan dan kedudukan varian Omicron ini. Maka, dalam tempoh itu SOP VTL Darat akan diteruskan. Setakat ini VTL Darat berjalan lancar dan kita kena pertingkatkan SOP jika mahu jumlah kemasukan pengembara dapat ditambah. Syarat dan keperluan SOP seperti ujian pengesanan pantas (RTK), ‘On Arrival Test’ (OAT) Covid-19 perlu dipertingkatkan.
“Mungkin sekiranya terdapat perkara baru berbangkit berkaitan varian Omicron ini, tidak ada gambaran bahawa VTL Darat ini akan ditutup semula atau sebagainya. Tetapi satu SOP yang lebih sesuai akan diperkenalkan dan akan melibatkan kedua-dua negara,” katanya selepas melancarkan aplikasi mudah alih dan portal Johorpay, di sini.
Dalam perkembangan lain, Hasni tidak menolak kemungkinan usul persempadanan semula adalah pilihan yang terbaik bagi mengatasi isu pertambahan mendadak pengundi susulan pelaksanaan Undi 18.
Beliau berkata, satu pelan tindakan perlu dilakukan bagi mengatasi pertambahan mendadak jumlah pengundi menerusi pelaksanaan Undi 18 selepas undang-undang tubuh kerajaan negeri dipinda tidak lama lagi.
Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut juga berkata, sekiranya tidak ada tindakan yang diambil, ia mungkin akan menjejaskan perkhidmatan sebagai wakil rakyat.
“Selain daripada kita bersetuju untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, kita juga kena terima hakikat bahawa jumlah pengundi akan bertambah. Penambahan ini kita kena kaji impaknya terhadap kawasan yang mempunyai pengundi yang ramai. Pentingnya kita sedari bila sudah ramai pengundi, perkhidmatan wakil rakyat akan terjejas jika tidak berbuat sesuatu.
“Perkara itu dulu yang kita hendak ukur dan cari jalan bagi mengatasi isu ini. Sama ada pecah sempadan sebagai satu pilihan yang mungkin merupakan jalan penyelesaian, saya tidak tolak kemungkinan itu,” katanya.










