PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki negara, Brendon Carola kecewa dengan persembahan hambar Speedy Tigers ketika tewas 1-4 kepada Jepun dalam aksi Kumpulan A Piala Negara-Negara FIH (Nations Cup) 2025-26 di Stadium Hartleyvale, Cape Town, kelmarin.
Kekalahan itu hadir hanya sehari selepas skuad negara mencatat kemenangan 4-2 ke atas Scotland, sekali gus menyaksikan momentum positif yang diharapkan gagal diteruskan dalam perlawanan kedua.
Menurut Carolan, anak buahnya gagal menampilkan corak permainan sebenar apabila terlalu mudah kehilangan penguasaan bola selain gagal mengawal rentak permainan ketika berdepan tekanan daripada Jepun.
“Sudah tentu saya kecewa kerana kami mahu meneruskan permulaan positif seperti ketika menentang Scotland, tetapi hari ini (kelmarin) kami tidak cukup bagus.
“Kami perlu lebih baik dalam membawa bola. Kami terlalu longgar dan sepatutnya lebih bijak mengawal penguasaan permainan daripada cuba menyerang setiap masa.
“Kami perlu meningkatkan prestasi dalam perlawanan seterusnya dan saya percaya pasukan ini mampu kembali ke landasan yang betul. Kami perlu memandang ke hadapan dan terus bekerja keras,” katanya.
Kekalahan menyaksikan kekalahan kepada Jepun buat kali kedua berturut-turut dialami Speedy Tigers dalam tempoh kurang tiga bulan.
Sebelum ini, Jepun menundukkan Malaysia 5-4 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Kelayakan Piala Dunia di Muscat, Oman pada Mac lalu.
Pada aksi itu, Speedy Tigers bukan sahaja gagal menguasai permainan, malah langsung tidak memperoleh sebarang pukulan sudut penalti (PC), situasi yang jarang berlaku memandangkan set-piece itu sering menjadi senjata utama skuad negara untuk memburu gol.
Sebaliknya, Jepun memanfaatkan peluang yang dimiliki dengan cukup berkesan apabila dua daripada empat jaringan mereka hadir menerusi situasi pukulan sudut penalti.
Kekalahan itu juga menenggelamkan detik bersejarah kapten negara, Muhammad Marhan Jalil yang mencipta rekod baharu sebagai pemain Malaysia dengan penampilan antarabangsa terbanyak apabila mengumpul 350 kap sepanjang kariernya.
Kini, Speedy Tigers perlu segera bangkit kerana masih berbaki dua aksi penting dalam saingan kumpulan menentang New Zealand pada Isnin dan Korea Selatan sehari kemudian.-UTUSAN
Habis
KAPSYEN: CAROLAN (tengah) menerangkan taktikal kepada pemain ketika berdepan Jepun, kelmarin.- IHSAN PERSEKUTUAN HOKI ANTABANGSA (FIH).










